Umno tidak perlu 'poster boy' untuk PRU15, kata Puad


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata membayangkan Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini dipilih sebagai 'poster boy' PRU15 kini sudah jadi liabiliti parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2022.

PUAD Zarkashi mencadangkan supaya Umno menjadikan lambang Barisan Nasional (BN) sebagai ‘poster boy’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), biarpun parti sebelum ini setuju untuk menonjolkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau membayangkan ‘poster boy’ pilihan Umno itu kini sudah jadi liabiliti parti.

“Umno tidak memerlukan lagi poster boy untuk PRU ke-15. Kini ia tidak lagi relevan. Ia boleh jadi bola tanggung, punching bag atau senjata makan tuan.

“Walaupun sudah ada keputusan, tetapi kalau sudah jadi liabiliti, elok batalkan sahaja poster boy,” tulisnya di Facebook, hari ini.

Majlis Kerja Tertinggi Umno pada April sepakat menamakan Ismail Sabri, yang juga naib presiden parti, sebagai calon perdana menteri untuk PRU15, yang secara umumnya dirujuk sebagai ‘poster boy’.

Menurut Puad, lambang BN sahaja sudah memadai jadi ‘poster boy’ kerana “manusia bernyawa mudah difitnah” berbanding lambang parti.

“Benda tak bernyawa memang sukar untuk difitnah. Lagi pun logo BN telah sebati kepada rakyat,” katanya.

Puad yang diketahui antara penyokong kuat Najib Razak melontarkan pandangannya sehari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas perdana menteri terkait tujuh pertuduhan melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Najib semalam dihantar ke Penjara Kajang untuk mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selain dikenakan denda RM210 juta.

Mahkamah tertinggi itu mendapati pembelaan Najib terhadap tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam kenyataannya, Puad juga dilihat menyerang langsung Ismail Sabri.

Poster boy tidak boleh mereka yang over perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya.

Keputusan Umno menamakan Ismail Sabri sebelum ini dipersoalkan beberapa pihak kerana peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan parti politik bertanding hanya boleh menggunakan gambar pemimpin utama iaitu presiden dan timbalan presiden. 

Peraturan itu diperkenalkan semasa PRU14.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman juga sebelum ini mendakwa keputusan Umno menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri hanya umpan supaya beliau segera membubarkan Parlimen. – 24 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen