Tidak salah rumah terbuka PM di 6 negeri, kata Puad


Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata rumah terbuka PM diadakah sebagai usaha perhubungan awam mereka untuk merapatkan hubungan dengan orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2023.

Tidak ada salahnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menganjurkan Hari Raya di enam negeri kerana ia bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan orang ramai, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi.

Puad membidas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana mengaitkan rumah terbuka di negeri-negeri yang akan diadakan pilihan raya negeri (PRN) sebagai acara kempen tidak lama lagi.

“Sanusi takut. Apa yang tidak wajarnya? Buat rumah terbuka ke akar umbi lagi wajar. Biar rakyat di negeri lain merasa. Taklah dari dulu sampai sekarang Putrajaya sahaja merasa

“Dia kata itu kempen. Tujuan rumah terbuka ialah PR. Iaitu meluaskan “public relation” kita dengan orang ramai,  jiran, kenalan rapat dan saudara mara. Semua orang boleh datang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini. 

Dilaporkan Sanusi berkata dengan mengadakan rumah terbuka, kerajaan persekutuan menentang dasarnya untuk menghapuskan acara besar-besaran untuk mengurangkan kos.

Beliau berkata majlis rumah terbuka itu sama seperti berpolitik kerana enam negeri itu akan mengadakan PRN selepas Jun.

Puad berkata tujuan rumah terbuka itu adalah usaha perhubungan awam mereka untuk merapatkan hubungan dengan orang ramai, mengenali orang ramai dan mengajak semua orang untuk menyertainya.

“Sebab itu semua wakil rakyat dan MB buat open house. Memang ada sedikit unsur politik dan kempen. Sambil menyelam sambil minum air. Apa salahnya.

“Sanusi pun boleh tumpang semangkuk. Dia boleh berdiri sebelah PM dari pagi sampai petang. Dia boleh bersalam dengan semua pengunjung. Lagi ramai datang lagi bagus,” katanya.

Beliau berkata Sanusi turut menyebut membuat rumah terbuka di semua kawasan adalah satu pembaziran.

“Kalau mahu berjimat cermat Sanusi tidak perlu buat open hause lain. Lagi pun mungkin orang yang sama akan hadir. Itu pembaziran,” katanya. – 24 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen