Speaker DUN Johor maklum SPR kekosongan kerusi Simpang Jeram hari ini


Speaker DUN Johor Mohd Puad Zarkashi berkata kekosongan kerusi DUN Simpang Jeram akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai 2023.

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Mohd Puad Zarkashi akan memaklumkan kekosongan kerusi DUN Simpang Jeram kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi WhatsApp ringkas kepada Bernama hari ini, susulan pemergian penyandangnya Salahuddin Ayub, 61, pada Ahad malam.

Terdahulu, jenazah menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu dibawa ke Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadut di Serkat, Tanjung Piai untuk disembahyangkan dan kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, pada pukul 12.05 tengah hari, hari ini.

Ahli Parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram itu memenangi kedua-dua kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mempertahankannya pada PRU15.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi, yang mana Barisan Nasional memenangi 40 kerusi pada PRN lepas, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (3), manakala PKR dan Muda masing-masing satu kerusi. – Bernama, 24 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen