Amanah parti kawan makan kawan, kata Puad Zarkashi


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mengkritik Amanah selepas ia merayu Agong tolak pengampunan Najib Razak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

AMANAH hanya layak dijadikan kawan politik tetapi bukan sahabat perjuangan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi, selepas parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu merayu Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.

Puad, yang merujuk Amanah sebagai PAN, menyifatkan parti itu tidak boleh dipercayai kerana bersikap “kawan makan kawan”.

“Memang susah bersahabat dengan PAN. Hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan Kerajaan Perpaduan boleh kekal. Kawan makan kawan,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Amanah berpendirian pengampunan ke atas Najib akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu yang mahu membersihkan negara daripada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pengampunan itu juga, jika dibenarkan, akan menghantar mesej yang salah kepada dunia mengenai sikap Malaysia terhadap rasuah, ketika beberapa negara juga membicarakan pesalah kes skandal 1MDB, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Lembaga Pengampunan yang bersidang pada Jumaat bagaimanapun dilaporkan tidak mendengar permohonan Najib, antara 28 permohonan yang didengar pada Jumaat lepas.

Susulan kenyataan Amanah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri menggesa semua pihak supaya berhenti mengulas isu permohonan pengampunan terhadap Najib.

Menurut Ahmad Zahid, pengampunan diraja adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan tidak seharusnya mana-mana pihak, termasuk parti politik yang bersahabat dengan Umno memberikan ulasan.

Dalam pada itu, Puad mendakwa Amanah tidak tertib dan menghina budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam kuasa Seri Paduka untuk memberi pengampunan.

Katanya, Umno sendiri pun tidak bising apabila Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan Najib semasa bersidang dua hari lalu.

“Umno memohon secara tertib. Masalahnya PAN kerana mendesak YDP Agong menolak pengampunan Najib. Umno hanya menyokong sahaja.

“Maka PAN yang tidak tertib. PAN yang hina budi bicara YDP Agong. PAN secara jelas mempersoal kebijaksanaan YDP Agong kerana membuat desakan itu,” katanya.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan juga dikenakan denda RM210 juta selepas didapati sabit kesalahan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya, yang disahkan sebelum itu oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Panel kedua Mahkamah Persekutuan mendapati tidak berlaku kegagalan proses keadilan ketika mahkamah tertinggi negara mendengar rayuan akhir Najib pada Ogos 2022. – 30 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen