Amanah rayu Agong tolak pengampunan Najib


Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata pengampunan terhadap Najib Razak akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2023.

LEMBAGA Pengampunan tidak harus membenarkan pengampunan kepada bekas perdana menteri Najib Razak kerana ia akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu, kata Amanah.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dalam satu kenyataan merayu Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong supaya menolak pengampunan Najib.

Media sebelum ini melaporkan Lembaga Pengampunan dijadual bersidang pada hari ini.

“Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah Negara merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan.

“Hanya dengan itu rakyat akan yakin bahawa kerajaan perpaduan dan Institusi Raja-Raja Melayu, bersama Yang di-Pertuan Agong, ingin menyelamatkan negara kita dari pandemik rasuah dan salah guna kuasa yang melanda negara sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khalid, pengampunan ke atas Najib akan menghantar mesej yang tidak baik antaranya kepada dunia mengenai sikap Malaysia terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

“Ia akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Jelas Khalid, Amanah mengakui pengampunan berkenaan adalah hak Yang di-Pertuan Agong namun merasakan pandangan parti yang disuarakan secara terbuka ini bertujuan membantu Seri Paduka membuat keputusan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan juga dikenakan denda RM210 juta selepas didapati sabit kesalahan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya, yang disahkan sebelum itu oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Panel kedua Mahkamah Persekutuan mendapati tidak berlaku kegagalan proses keadilan ketika mahkamah tertinggi negara mendengar rayuan akhir Najib pada Ogos 2022. – 28 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen