Teruskan Minggu Solidariti Palestin, kata ahli MKT Umno


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata Minggu Solidariti Palestin tidak wajar dibatalkan hanya kerana ada yang tidak mematuhi garis panduan KPM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mesti meneruskan Minggu Solidariti Palestin biar pun ada desakan pelbagai pihak supaya program yang bermula hari ini dibatalkan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, program itu tidak wajar dibatalkan hanya kerana “nila setitik” yang tidak mematuhi garis panduan kementerian.

“Kerana nila setitik ada pihak dan individu ambil kesempatan desak KPM batalkan Minggu Solidariti Palestin yang bermula (hari ini). KPM tidak wajar tunduk kepada desakan itu.

“Ternyata insiden pelajar sekolah bawa senjata mainan dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan dan tidak patuh garis panduan ditetapkan,” katanya.

Puad juga berkata tiada sebab untuk rakyat Malaysia semua peringkat tidak bersolidariti dengan rakyat Palestin ketika seluruh negara dan dunia mengecam kekejaman Israel.

Kementerian Pendidikan menetapkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin bermula hari ini hingga 3 November.

Minggu Solidariti Palestin jadi perhatian selepas gambar murid dan guru memegang senjata mainan dalam satu acara menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin tersebar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam reaksinya menggesa program seumpama itu dikawal supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.

KPM dalam satu kenyataan kemudian menjelaskan program itu di luar penganjuran Minggu Solidariti Palestin yang hanya bermula hari ini.

Kementerian juga menegaskan ia tidak bertolak ansur dengan program yang berbentuk ekstrem, radikal dan menganjurkan keganasan.

Beberapa pihak mempersoalkan kewajaran program solidariti Palestin di sekolah, antaranya Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin yang berpendapat sekolah sepatutnya fokus pada pendidikan.

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy pula mengingatkan program seperti itu sukar dikawal.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke DAP mahu KPM mengambil tindakan tatatertib ke atas pihak yang terlibat menganjurkan program solidariti Palestin di sekolah yang melibatkan penggunaan senjata mainan.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihak kementerian sedang menyiasat pihak penganjur program yang tular itu. – 29 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen