Puad bidas tinjauan gesa supaya Zahid letak jawatan


AHLI Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi telah membidas penemuan Ilham Centre yang menunjukkan akar umbi parti Melayu itu mahukan perubahan di peringkat atasan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2023.

AHLI Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi telah membidas penemuan Ilham Centre yang mana badan pemikir itu mendedahkan akar umbi parti Melayu mahukan perubahan di peringkat atasan untuk meremajakan parti.

Dalam catatan Facebook, Puad berkata tinjauan dari Ilham Centre adalah cacat tetapi mengakui parti itu kehilangan sokongan orang Melayu.

“Tetapi ada beberapa pihak termasuk Ilham Center hanya fokus kepada alasan tertentu dalam buat analisis. Fokus mereka ialah Zahid mesti letak jawatan. Umno perlu tokoh baru.

“Tetapi Ilham Center tidak berani komited, jika Zahid letak jawatan masalah akan selesai. 

“Menurut Ilham, Umno perlu perubahan total. Tidak pula dinyatakan perubahan apa?” katanya di Facebook hari ini. 

Semalam rakan penyelidik Ilham Centre Mujibu Abdul Muis berkata Umno memerlukan peremajaan kerana parti itu kini berdepan krisis kepimpinan yang serius dan kehilangan sokongan orang Melayu.

Bercakap pada forum mengenai pilihan raya negeri baru-baru ini pagi ini, Mujibu dsri Universiti Teknologi Mara berkata Umno perlu menggunakan pendekatan yang lebih komprehensif dan strategik untuk kekal relevan.

Mujibu berkata kemenangan Umno di beberapa DUN bukan disumbangkan oleh penyokong sendiri tetapi menang dengan sokongan pengundi Pakatan Harapan.

Memetik prestasi parti itu pada pilihan raya Kedah, Kelantan dan Terengganu, Mujibu mendedahkan undi Melayu di tiga negeri itu menunjukkan PN menerima lebih 60% sokongan Melayu berbanding PH-BN.

Mujibu menjelaskan Umno mungkin perlu memperkenalkan pemimpin yang berintegriti – seseorang yang boleh membawa perubahan.

Beliau berkata Umno memerlukan reformasi dalaman.

Umno hanya berjaya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya di enam negeri pada pilihan raya 12 Ogos. Parti itu, yang bertanding di bawah panji Barisan Nasional, memenangi 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor dan Pulau Pinang, dan satu di Kelantan.

Minggu lalu, Puad mempertahankan Zahid berikutan prestasi buruk Umno dalam pilihan raya negeri berkata adalah “lebih baik untuk mengenal pasti apa yang salah daripada siapa yang harus dipersalahkan”.

Beliau menambah melepaskan jawatan presiden tidak membantu menyelesaikan masalah dalam parti, seperti ketika Najib Razak meletak jawatan berikutan kehilangan kerajaan persekutuan Barisan Nasional selepas enam dekad. – 26 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen