DAP dan saya guna satu sama lain untuk kalahkan Najib, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir ketika menjadi tetamu Keluar Sekejap disiarkan, hari ini. – Gambar Facebook Keluar Sekejap, 13 November, 2023.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup bekerjasama dengan musuhnya DAP pada pilihan raya 2018 kerana berkongsi matlamat yang sama - untuk menjatuhkan Najib Razak.

Negarawan berusia 98 tahun itu berkata keputusan untuk bekerjasama dengan DAP ditentukan oleh objektif tertentu.

“Kita tentukan matlamat. Kita nak capai sesuatu matlamat, apabila kita berjuang, musuh kepada musuh kamu adalah kawan kamu. Kita nak dapat majoriti. Kalau saya tidak guna DAP, kita tidak akan dapat dan Najib akan terus jadi perdana menteri.

“Antara DAP dengan Najib, yang mana satu perlu kita singkirkan dan lawan? Sebab itu saya nak guna DAP. Saya sedar, DAP juga nak guna saya sebab DAP juga ada matlamat sama nak jatuhkan (Najib) jadi kita guna (satu sama lain),” katanya pada program podcast ‘Keluar Sekejap’ dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan disiarkan, hari ini.

Semasa bersama Umno, Dr Mahathir sering menyerang DAP hingga melabel parti itu sebagai cauvinis.

Namun, Dr Mahathir meminda hubungan dengan DAP selepas membentuk Bersatu dan menyertai pembangkang sebagai sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan.

Perkara itu mendorong Shahril bertanya tentang kekonsistenan Dr Mahathir terhadap PAS, parti yang kini disokongnya.

“Sekarang ada masalah dan saya sedar tiada pilihan lain kecuali bekerja dengan PAS. Dalam keadaan ini, ini pilihan yang saya kena buat,” katanya.

Dr Mahathir merupakan tetamu khas pada Muktamar PAS yang terbaru dan diberi peluang memberi ucapan kepada perwakilan pada himpunan tahunan itu.

Beliau juga berkempen untuk Perikatan Nasional di beberapa pilihan raya kecil selain dinamakan sebagai penasihat kepada empat negeri ditadbir PN.

Pada PRU lalu, Dr Mahathir kalah di Parlimen Langkawi termasuk hilang deposit kepada calon PN Mohd Suhaimi Abdullah.

Dr Mahathir bertanding dengan Pejuang, parti yang ditubuh selepas meninggalkan Bersatu. – 13 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen