Shahril Hamdan letak jawatan dalam Umno, desak Zahid undur


Diyana Ibrahim

Shahril Hamdan meletak semua jawatan dalam Umno selepas kekalahan teruk Barisan Nasional pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

SHAHRIL Hamdan letak jawatan ketua penerangan Umno susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) semalam, sekaligus meningkatkan tekanan ke atas Presiden Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur.

Beliau juga mendesak Ahmad Zahid supaya ikut sama letak jawatan dalam parti supaya menjadi contoh kepada yang lain, ketika Umno mengatur langkah selepas kalah.

“Tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu presiden Umno dan pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini – berundur secara terhormat.

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini.

“Atas semangat ‘collective responsibility’ itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan Umno Malaysia,” katanya.

Jelas Shahril, peletakan jawatannya itu adalah demi kepentingan parti yang jauh lebih besar.

Beliau membayangkan peletakan jawatan itu langkah pertama sebelum parti membuat keputusan selepas tiada mana-mana pihak mencapai majoriit mudah 112 di Dewan Rakyat.

“Keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja,” katanya.

Pengumuman Shahril itu dibuat beberapa jam selepas beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengesa Zahid berundur. 

Menurut Onn Hafiz, keputusan PRU15 semalam jelas menunjukkan yang orang Melayu menolak Umno. 

“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, iaitu orang Melayu telah menolak Umno. Umno telah rebah.

“Umno dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor, sementara itu kita tidak memenangi satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.

“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin Umno termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa PRU15 semalam,” kata Onn Hafiz menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya.

Dalam PRU15 semalam, Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) menang 73 kerusi.

Kedua-dua gabungan sedang berunding dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan persekutuan.

BN hanya menang 30 kerusi Parlimen dengan beberapa pemimpin utama, bekas menteri dan veteran Umno kalah terutamanya kepada PAS dari Perikatan Nasional (PN).

Antara yang kalah termasuk naib presiden Mahdzir Khalid di Padang Terap, Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).

Shahril Hamdan yang bertanding kerusi Parlimen Alor Gajah juga kalah.

PN juga merampas Perlis daripada BN dengan menguasai 14 daripada 15 kerusi di dewan undangan negeri. BN langsung tiada wakil di DUN Perlis.

PN juga menafikan BN daripada terus menguasai DUN Perak dan Pahang, biarpun tiada gabungan yang mempunyai jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan sendiri.

Pada PRU14, BN yang tersingkir dari Putrajaya menang 79 kerusi dengan 54 daripadanya melalui Umno. Pengerusi BN dan Presiden Umno pada masa itu Najib Razak letak jawatan tidak sampai 12 jam selepas keputusan. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen