Isham Jalil dilantik ketua penerangan Umno baharu


Isham Jalil berkata beliau dimaklumkan mengenai pelantikan itu oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan setiausaha agung Ahmad Maslan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno Hizatul Isham Abdul Jalil dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno yang baharu berkuat kuasa hari ini, kata Setiausaha Agungnya Ahmad Maslan.

Ahmad menerusi catatan di akaun Twitternya memaklumkan pelantikan Isham dibuat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengikut Fasal 9.6 Perlembagaan Umno berikutan peletakan jawatan Shahril Hamdan hari ini.

Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebooknya berkata beliau dimaklumkan mengenai pelantikan itu oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ahmad selepas perbincangan dengan kepimpinan tertinggi parti.

“Surat rasmi telah ditandatangani oleh kepimpinan parti. Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan dan kepercayaan parti terhadap saya.

“Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang akan kita tempuhi bersama di kala ini, kita tidak boleh berputus asa, tanggungjawab ini berat lebih-lebih lagi di kala kita berada dalam kekalahan dan kesempitan ini,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam itu.

Isham berkata, pembaharuan perlu dibuat terhadap parti dari dalam dan beliau memberi jaminan tidak akan lari daripada perjuangan serta terus istiqamah dan berkorban untuk parti bersama akar umbi demi agama, bangsa dan tanah air.

“Sebab itu saya terima tanggungjawab ini dan akan memegang amanah ini dengan sebaiknya walaupun kita sudah tidak punya apa-apa,” katanya.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan BN mencatat prestasi buruk apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen berbanding pencabarnya Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 82 kerusi manakala Perikatan Nasional meraih 73 kerusi Parlimen. – Bernama, 20 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen