Mula tugas jadi DJ radio, menang ‘selfie’ tapi kalah undi kata KJ


Khairy memulakan tugas sebagai penyampai radio di stesen radio tempatan Hot FM pagi ini. – Gambar Facebook, 15 Februari, 2023.

BEKAS menteri kesihatan Khairy Jamaluddin memulakan kerjaya baharunya sebagai penyampai radio di stesen radio tempatan Hot FM pagi ini.

Baru sahaja dipecat dari parti Umno akhir bulan lalu selepas kalah dalam pilihan raya umum November tahun lepas, Khairy muncul dalam segmen ‘Bekpes Hot’ bersama rakan penyampainya, Johan Raja Lawak dan AG.

Ketika bersiaran, Khairy menyentuh soal pemecatannya daripada parti serta kekalahannya pada PRU15 lalu di kawasan Parlimen di Selangor selepas keluar daripada kerusi yang disandangnya di Rembau, Negeri Sembilan.

“Saya ingat (Saya boleh menang) sebab ketika berkempen, ramai yang minta ‘selfie’ dengan saya. Tapi saya kalah. Saya menang ‘selfie’ tapi kalah undi.

“Lepas kalah November itu, saya tak tahu nak buat apa. Saya ‘jammed’ fikir masa depan saya,” katanya dalam rancangan itu.

Minggu lalu, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Khairy akan memulakan tugas sebagai penyampai radio di Hot FM hari ini.

Beliau akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Khairy dipecat daripada Umno pada 28 Januari lalu berikutan ucapannya yang dibuat ketika berkempen yang dikatakan menentang kepimpinan parti.

Sejak itu, beliau ditawarkan pembangkang untuk bertanding pada pilihan raya negeri di Selangor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi dengan tawaran kedudukan sebagai menteri besar. – 15 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen