PRU15: KJ sahkan tidak dapat kerusi selamat


Khairy merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum memberi laluan kepada Tok Mat untuk bertanding di kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2022.

MENTERI Kesihatan sementara Khairy Jamaluddin hari ini memberi bayangan beliau bakal bertanding di kerusi Parlimen yang kini disandang wakil parti bukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Meskipun kerusi itu belum dimuktamadkan dan masih dalam penilaian pucuk pimpinan BN, Khairy bagaimanapun mengesahkan ia merupakan kawasan yang dimenangi parti lawan sebelum ini.

“Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan dan hampir pasti tidak akan mendapat kerusi yang dianggap sebagai kerusi selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban di Seremban, hari ini.

Khairy merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan atau Tok Mat untuk bertanding di kawasan itu.

Tok Mat dilaporkan memberi jaminan akan mencari tempat sesuai untuk Khairy bertanding dalam PRU15 nanti dan tidak akan membiarkan bekas ketua pemuda Umno itu ‘hilang’ begitu sahaja kerana beliau dilabel sebagai pemimpin muda berkaliber.

Khairy berkata beliau sedia menerima cabaran dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan parti sekali gus menawan kerusi berkenaan dalam PRU15.

Ditanya sama ada kerusi berkenaan adalah di

Khairy ketika ditanya sama ada kerusi itu terletak di  Negeri Sembilan enggan mendedahkan.

“Pelbagai negeri, masih belum ada keputusan akhir. Kita tunggu.

“Kita semua kena main peranan untuk parti. Kalau semua pergi ke kawasan selamat dan kita tak akan dapat membawa agenda kita secara luas. Jadi kena ada juga yang sanggup pergi ke (kawasan) mungkin sebelum ini kita tidak menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Bernama, 21 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen