Umno nafi beri kata dua kepada Ismail Sabri, kata ketua penerangan


Mohd Farhan Darwis

KETUA Penerangan Umno Shahril Hamdan menafikan biro politik partinya mengancam untuk memecat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat baru-baru ini.

Shahril menegaskan laporan berita yang mendakwa berlakunya desakan itu sebagai agenda pihak tertentu yang mahu Umno memecah belahkan Umno.

“Laporan-laporan media mengatakan ada kata dua, ada ‘ultimatum’ dan sebagainya adalah palsu sama sekali.

“Agenda pihak-pihak tertentu untuk memecahbelahkan Umno atau menggambarkan seolah-olah kepimpinan Umno bergaduh tidak perlu dipercayai,” kata Shahril.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata partinya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita Malaysiakini dan Astro Awani berhubung laporan berkenaan.

“Saya telah menghubungi presiden dan berbincang dengan peguam Umno untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini dan (Astro) Awani hari ini.” katanya.

Shahril yang juga pengarah ekonomi di pejabat perdana menteri berkata maklumat perbincangan adalah sulit dan sebagai anggota bukan mudah untuk bocorkan hasil pertemuan itu.

“Laporan berasaskan ‘sumber’ semata-mata mensensasikan cerita tidak sepatutnya dijadikan asas untuk melapor berita.

“Butiran perbincangan dalam mesyuarat ialah rahsia. Sebagai pemegang jawatan, kami tidak boleh membocorkan butiran semata-mata mahu menjadi ‘reporter’,” katanya.

Beliau turut menegaskan, selain kenyataan rasmi parti, laporan berita yang memetik sumber berhubung perkara itu adalah tidak benar.

“Tetapi dalam hal ini, untuk jelas, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan bahawa biro politik mendesak atau memberi amaran kepada perdana menteri apatah lagi pemecatan seorang perdana menteri dari Umno.

“Melainkan sebarang kenyataan rasmi, sebarang kenyataan lain apatah lagi sebagai ‘sumber’, tidak boleh disifatkan sebagai benar,” katanya.

Beberapa media hari ini melaporkan pemimpin Umno pro-Najib Razak memberi kata dua kepada Ismail Sabri sama ada buat pilihan raya umum segera atau dipecat daripada parti.

Laporan yang memetik “sumber Umno dan kerajaan” itu mendakwa perkara tersebut dibuat pada mesyuarat biro politik dipengerusikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu, sehari selepas Najib gagal dalam rayuan terakhir untuk membatalkan sabitan penyelewengan SRC International.

Najib kini dipenjarakan di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Laporan media tersebut menggambarkan mesyuarat pada malam itu sebagai tegang, dengan ada yang meninggikan suara kepada Ismail Sabri, dipercayai berhubung kegagalannya membantu atau campur tangan dalam rayuan Najib. – 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen