Umno beri kata dua kepada PM, adakan PRU atau dipecat


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob didesak untuk mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2022.

DI SEBALIK penafian mereka, pemimpin Umno pro-Najib Razak memberi kata dua kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sama ada mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin atau dipecat daripada parti, lapor portal berita Malaysiakini.

Portal itu, yang memetik “sumber Umno dan kerajaan”, memberi kata dua itu dibuat pada mesyuarat biro politik, yang dipengerusikan oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu - sehari selepas Najib, bekas perdana menteri gagal dalam rayuan terakhir untuk membatalkan sabitan penyelewengan SRC International.

Najib kini dipenjarakan di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Sumber portal itu menyifatkan mesyuarat sebagai tegang, dengan ada yang meninggikan suara kepada Ismail Sabri, didakwa berhubung kegagalannya membantu atau campur tangan dalam rayuan itu.

“Biro politik tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman bekas perdana menteri.”

Justeru, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno diberitahu untuk menyegerakan pilihan raya, tambah laporan itu.

Sumber Malaysiakini tidak mendedahkan jawapan Ismail Sabri terhadap desakan itu.

Najib dan Zahid menafikan meminta Ismail Sabri untuk campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Najib masih berdepan empat lagi kes rasuah yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1 Malaysia Development Board (1MDB) manakala Zahid turut dibicarakan kerana jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram, menerima rasuah berhubung lebih RM31 juta Yayasan Dana Akalbudi.

Biro politik itu juga membincangkan kemungkinan mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib. – 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen