Umno tuntut kesetiaan jentera BN Sabah


Shahril berucap pada Himpunan Gelombang Biru anjuran BN Kalabakan dan Tawau hari ini. – Gambar Facebook, 4 September, 2022.

BARISAN Nasional (BN) dan Umno menuntut kesetiaan semua jentera parti di Sabah untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata perkara itu dituntut bukan sahaja daripada pemimpin tetapi seluruh akar umbi BN dan Umno di Sabah.

“Kesetiaan bukan semata-mata beri semangat tetapi menjadi bukti apabila diterjemah kepada prestasi pada hari ini. Ini formula Sabah untuk jadi pencetus kita ambil balik negeri ini. Kesetiaan bukan hanya di bibir tetapi ambil iktibar dan terbukti soal kesetiaan dalam tempoh empat tahun ini.

“Kalau kita percaya pada omong atau kata-kata pada 2018 itu, Umno habis di Sabah…terkubur namun pada hari ini terbukti Umno, BN subur, mekar. Sebab itu BN dan Umno pusat tidak pernah ragu dengan Sabah,” katanya pada Himpunan Gelombang Biru anjuran BN Kalabakan dan Tawau hari ini.

Sementara itu Timbalan Pengerusi BN Sabah Yakub Khan berkata BN dan Umno tidak ketandusan pemimpin untuk menyambung perjuangan parti sekali gus memastikan kemenangan kerana dalam perjuangan bukan pemimpin yang diperjuangkan tetapi mendukung parti.

Beliau yang merasmikan program hari ini berkata kehadiran lebih 7,000 penyokong pada himpunan itu menggambarkan BN masih diterima serta dekat di hati masyarakat. – Bernama, 4 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen