Lesen MYAirline hanya digantung, bukan dibatalkan


Alfian Z.M. Tahir

Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline beroperasi tidak sampai setahun sebelum menggantung operasinya secara mengejut pada 12 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2023.

LESEN MYAirline untuk beroperasi sebagai syarikat penerbangan hanya digantung dan tiada pembatalan oleh pengawal selia tempatan, kata syarikat penerbangan itu hari ini.

Pengurus perhubungan awam dan media syarikat Kevin Boey berkata dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight yang Sijil Operator Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) ia belum dibatalkan.

“Kami ingin menjelaskan yang kedua-dua lesen diperlukan untuk mengendalikan syarikat penerbangan (AOC dan ASL) hanya digantung dan tidak dibatalkan seperti dilaporkan.

“MYAirline tidak menerima sebarang pembatalan atau tuntutan menghentikan operasi oleh pengawal selia tempatan dan kini sedang menyelesaikan rundingan bagi pelaburan semula dan seterusnya memulakan semula operasi,” katanya.

Dalam kenyataan lain, syarikat itu berkata penggantungan kedua-dua lesen itu untuk menjaga kepentingan organisasi, “memandangkan rekod prestasi sejarah kami dalam mengekalkan persekitaran operasi yang kukuh, terutamanya dari segi teknikal, keselamatan dan aspek operasi”.

“Penggantungan itu memerlukan MYAirline membuktikan  keupayaannya untuk beroperasi secara bebas dan mencapai keupayaan kewangan bagi mendapatkan semula pensijilan penuh dan  penarikan penggantungan lesennya,” tambahnya.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan MYAirline Sdn Bhd sukar mendapatkan pelabur kerana ASL mereka digantung.

Penganalisis penerbangan, Shukor Yusof berkata tanpa ASL, ia umpama penamat riwayat syarikat yang dibelenggu masalah kewangan itu.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum ini mengumumkan penggantungan ASL MYAirline.

Mavcom mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober, mengarahkan syarikat penerbangan tambang rendah itu memberikan representasi bertulisnya dalam masa 14 hari.

Mengenai perkara lain, MYAirline juga menjelaskan daripada 10 pesawat sebelum ini di bawah pengurusan MYAirline, enam pesawat sudah dibatalkan pendaftarannya oleh pemberi pajakan.

“Tindakan ini selaras dengan amalan industri standard yang bertujuan untuk melindungi aset pemberi pajakan.

“Pada masa ini, empat pesawat masih berdaftar dan terus diuruskan oleh pemberi pajakan serta dibantu oleh Organisasi Pengurusan Berterusan Layak Terbang (CAMO) MYAirline.

“Perlu diberi perhatian yang pesawat ini berada di bawah kawalan pajak sejak 13 Oktober 2023, dan ini bukan perkembangan terkini. Namun begitu, kami terlibat secara aktif dalam perbincangan dengan pemberi pajakan dengan niat untuk mengekalkan pesawat ini sebaik sahaja proses permodalan semula selesai,” tambahnya.

Dilaporkan awal hari ini MYAirline memulangkan kesemua 10 pesawat Airbus A320 miliknya kepada pemberi pajakan selepas menggantung operasi pada 12 Oktober.

Dilaporkan pihak pemberi pajakan memfailkan untuk membatalkan pendaftaran lima daripada A320 daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan lima lagi mendapat pemajak baharu dengan AirAsia Bhd. – 6 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen