MYAirline pulang semua 10 pesawat kepada pemajak, kata laporan


Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline beroperasi tidak sampai setahun sebelum menggantung operasinya secara mengejut pada 12 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2023.

MYAIRLINE Sdn Bhd sudah memulangkan kesemua sepuluh pesawat jenis Airbus A320 miliknya kepada pemberi pajak selepas syarikat penerbangan itu menggantung operasi secara mengejut pada 12 Oktober, lapor New Straits Times.

Laporan memetik sumber menyebut pemajak telah memohon untuk membatalkan pendaftaran lima daripada sepuluh pesawat terbabit dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) manakala lima lagi dipajakkan kepada AirAsia Bhd.

Menurut laporan itu, CAAM semalam mengesahkan pemajak mohon batal pendaftaran lima pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-DAC dan 9M-DAD pada 26 Oktober; 9M-DAJ dan 9M-DAL pada 27 Oktober; sementara 9M-DAH pada 3 November.

Sumber berkata wujud persaingan sengit dalam kalangan syarikat penerbangan bagi mendapatkan pesawat berbadan sempit seperti Airbus A320.

“Mereka (syarikat penerbangan) bersaing untuk mendapatkan pesawat. 

“Kos sewa pesawat (komersial) juga meningkat, terutama pesawat badan sempit. Lebih mahal sekarang berbanding beberapa tahun lepas,” kata sumber.

MYAirline telah memajak sembilan pesawat A320 daripada lapan pemajak iaitu Aviation Capital Group LLC, AerCap Holdings NV, Aircastle Ltd, Avolon, Carlyle Aviation Partners, Genesis, Mizuho dan SMBC Aviation Capital.

Pada 1 November lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) umum menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan tambang murah itu.

Dalam kenyataannya, Mavcom berkata surat tunjuk sebab telah dikeluarkan pada 13 Oktober, mengarahkan MYAirline untuk memberi penjelasan bertulis dalam tempoh 14 hari berhubung kegagalannya untuk mematuhi syarat-syarat ASL dan penggantungan operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober lalu.

Menurut Mavcom penjelasan bertulis MYAirline diterima pada 27 Oktober.

Suruhanjaya itu berkata keputusan untuk menggantung lesen MyAirline itu dibuat selepas syarikat terbabit gagal memberi penjelasan memuaskan.

ASL ialah lesen yang memberi kebenaran kepada syarikat penerbangan untuk beroperasi di negara ini. Lesen itu diperlukan untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo melalui udara.

MYAirline beroperasi tidak sampai setahun sebelum menggantung operasinya secara mengejut pada 12 Oktober.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan keputusan itu dibuat kerana tekanan kewangan, dan penggantungan itu perlu sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Keputusan mengejut itu menyebabkan seramai 125,000 penumpang terjejas, dengan kerugian kira-kira RM20 juta yang ditanggung oleh penumpang berdasarkan jualan tiket penerbangan syarikat terbabit.

Pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn Bhd Goh Hwan Hua sedang disiasat berkait kes pengubahan wang haram. – 6 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen