SEBUAH pesawat jenis Beechcraft King Air B200T tergelincir dari landasan di lapangan terbang Subang tengah hari tadi ketika melakukan pendaratan cemas akibat masalah dengan gear pendaratan.
Pesawat dari 16 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu terbabas dari landasan sejurus selepas mendarat kira-kira jam 12.54 tengah hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Norazman Mahmud dalam satu kenyataan mengesahkan empat anggota berada di dalam pesawat ketika kejadian dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Juruterbang telah menghubungi Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang mengenai isu berkaitan gear pendaratan pesawat dan meminta bantuan untuk mendarat.
“Menara ATC Subang segera memaklumkan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Subang untuk pengaktifan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang untuk memberikan bantuan kecemasan kepada pesawat itu apabila mendarat,” katanya.
Beliau berkata pesawat itu dalam proses dikeluarkan dan pemeriksaan penuh di landasan sedang dijalankan.
Landasan itu dijangka dibuka semula untuk operasi penerbangan pada 5 petang hari ini.
Norazman berkata CAAM juga akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. – 16 Oktober, 2023.
Komen