Tiada panggilan kecemasan dari pesawat terhempas, kata CAAM


Gambar dan video yang tersebar di media sosial petang ini menunjukkan asap tebal dan kesan terbakar di sekitar jalan berkenaan. – Gambar Facebook, 17 Ogos 2023.

SEBUAH pesawat ringan yang terhempas di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina petang tadi tidak membuat panggilan kecemasan, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Norazman Mahmud juga berkata keadaan enam penumpang dan dua kru penerbangan yang berada di dalam pesawat itu masih belum dapat disahkan.

Bagaimanapun keadaan di lapangan seperti yang tular di media sosial menunjukkan seorang penunggang motosikal maut dipercayai dirempuh pesawat berkenaan ketika ia terhempas di lebuh raya.

Katanya, pesawat yang terhempas itu dipercayai model Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV.

Ia dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2:08 petang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

“Panggilan pertama dibuat pesawat itu dengan Menara Kawalan Udara Subang adalah pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat diberikan pada jam 2.48 petang.

“Bagaimanapun, pada jam 2.51 petang Menara Kawalan Udara melihat kepulan asap dari lokasi terhempas dan tiada panggilan “Mayday” diterima daripada pesawat itu,” kata Norazman dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat.

Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, katanya lagi.

Laporan media mengatakan sekurang-kurangnya tujuh dipercayai maut akibat nahas itu.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari tentera udara adalah yang paling awal tiba di tempat kejadian berhampiran Persiaran Elmina. Api berjaya dipadamkan sekitar jam 4.20 petang.

Didapati sebuah kereta dan sebuah motosikal turut terlibat dalam kejadian itu. – 17 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen