Taraf keselamatan CAAM akan naik Kategori 1 semula, kata laporan


Taraf keselamatan Kategori 1 akan membolehkan syarikat penerbangan Malaysia berkembang dalam pasaran AS dan memasuki perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.

PENTADBIRAN Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat akan mengembalikan taraf keselamatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kepada Kategori 1, lapor The Edge.

Sebelum ini, FAA menurunkan taraf keselamatan CAAM dari Kategori 1 ke Kategori 2 pada November 2019.

Penaarafan Kategori 2 bermakna CAAM – sebuah badan yang sama dengan FAA untuk keselamatan penerbangan – tidak layak dalam satu atau dua perkara, seperti kepakaran teknikal, pegawai terlatih, penyimpanan rekod, dan/atau prosedur pemeriksaan.

Ia juga bermakna syarikat penerbangan Malaysia boleh meneruskan perkhidmatan sedia ada ke Amerika Syarikat, tetapi tidak dibenarkan membuat perkhidmatan baharu ke negara itu.

Laporan The Edge memetik pandangan individu yang arif dalam hal ini menyebut, pengembalian semula penarafan kepada Kategori 1 itu selepas CAAM telah menyelesaikan kesemua 33 isu yang dibangkitkan oleh FAA pada 2019.

FAA dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu sebelum akhir bulan ini, menurut The Edge.

Kategori 1 akan membolehkan syarikat penerbangan Malaysia berkembang dalam pasaran AS dan memasuki perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan negara itu.

Penurunan taraf kepada Kategori 2 sebelum ini meletakkan Malaysia tersenarai dengan Thailand, Bangladesh dan Costa Rica. – 29 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen