67 laporan polis dibuat terhadap i-Serve


SEBANYAK 67 laporan polis dibuat terhadap i-Serve Online Mall Sdn Bhd, sebuah syarikat e-dagang yang dikaitkan dengan pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Gua.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Yoosuf berkata laporan itu melibatkan kerugian berjumlah RM81.69 juta oleh pelabur yang mempunyai kepentingan dalam perniagaan itu.

“Kami membuka siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kerana menipu).

“Kami menggesa mangsa lain untuk segera tampil dan membuat laporan,” katanya pada sidang media.

Lapan orang sebelum ini ditahan termasuk Goh dan seorang peguam kanan untuk siasatan.

Pada Oktober tahun lalu Bank Negara Malaysia mendenda i-Serve dan sekutunya sejumlah RM50 juta kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Siasatan bank pusat mendedahkan antara Jun 2018 dan September 2021, syarikat menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen dan terlibat dalam transaksi yang melibatkan “aktiviti pengambilan deposit haram”.

Sebaliknya syarikat penerbangan bermasalah MYAirline secara tiba-tiba menggantung operasinya pada bulan lepas susulan “cabaran kewangan yang teruk” menjejaskan 125,000 penumpang yang membeli tiket bernilai RM20 juta untuk perjalanan sehingga Mac 2024. – 3 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen