Polis siasat kemungkinan kaitan pengubahan wang haram i-Serve dengan MYAirline


Polis membuka siasatan terhadap MYAirline selepas ia secara tiba-tiba menggantung operasi pada 12 Oktober, dengan alasan masalah kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2023.

POLIS sedang menyiasat jika i-Serve Online Mall Sdn Bhd mungkin digunakan bagi aktiviti pengubahan wang haram untuk membiayai MYAirline yang menghadapi masalah kewangan, lapor Utusan Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Mohamed Yoosuf berkata suspek dipercayai bersubahat dengan dalang utama perniagaan i-Serve sejak 2018.

“Siasatan kini tertumpu kepada dokumen transaksi membabitkan perniagaan i-Serve.

“Kami sedang menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan membuat tangkapan lain berkaitan kes ini dalam masa terdekat,” katanya.

Polis membuka siasatan terhadap MYAirline selepas ia secara tiba-tiba menggantung operasi pada 12 Oktober, dengan alasan masalah kewangan.

Ia menyebabkan ribuan penumpang penerbangan terkandas.

Syarikat penerbangan bajet itu berkata ia akan memberi pampasan kepada penumpang selepas memperoleh pelabur baharu. Ia berkata bayaran balik boleh mencecah sehingga RM22 juta.

Empat orang, termasuk pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua dan keluarganya,ditahan untuk membantu siasatan polis.

Goh, isterinya berusia 55 tahun dan anak mereka berusia 26 tahun telah dibebaskan.

Ramli berkata polis membekukan 15 akaun bank Goh dengan nilai kira-kira RM5 juta selain merampas beberapa dokumen dan barangan dimilikinya.

Hampir RM5 juta dalam akaun itu dipercayai ada kaitan dengan pengubahan wang haram.

Beliau juga menggesa pelabur i-Serve memfailkan laporan polis mengenai jumlah pelaburan individu mereka untuk memudahkan siasatan menyeluruh terhadap i-Serve, QA Partnership, Trillion Cove dan MyAirlines.

“Laporan ini penting untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya lagi.

Ramli juga berkata polis sedang meneliti kesalahan lain dilakukan oleh MYAirline, seperti penyalahgunaan dana pelabur, lapor The Star hari ini.

“Ia bukan sekadar pengubahan wang haram. Kami juga melihat jenayah lain seperti menyalahgunakan dana daripada pelabur.

“Kami sedang menyiasat jenayah dan kesalahan yang mungkin dilakukan dalam tempoh dua tahun atau lebih (operasinya).

“Ia akan mengambil masa, tetapi penyiasat bekerja keras, meneliti transaksi melibatkan beberapa syarikat, termasuk i-Serve dan MYAirline,” katanya dipetik The Star.

Tambah Ramli, 12 kenderaan daripada dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology and Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu CPU dan 10 barang kemas turut dirampas. – 25 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen