2 lagi ditahan berkaitan kes pelaburan i-Serve


Dua lagi individu ditahan polis bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan syarikat pelaburan i-Serve yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas MyAirline. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2023.

POLIS menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan syarikat pelaburan i-Serve yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama sebuah syarikat penerbangan tambang rendah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 58 dan 57 tahun.

Beliau berkata suspek pertama seorang lelaki ditahan di pejabat Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) kira-kira 3 pagi manakala suspek kedua seorang wanita ditahan di sebuah kondominium di Sentul pada 4.15 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek pertama berkenalan dan berkawan dengan seorang lelaki bergelar Datuk lebih 25 tahun lepas dan mengakui dia bersama Datuk berkenaan menubuhkan syarikat I-Serve Payment Gateway Sdn Bhd pada 2019.

“Suspek juga mengaku berperanan sebagai pengarah di tiga syarikat iaitu Beauty Treasure Sdn Bhd, I-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd serta I-Serve Travel & Tours Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata susulan penahanan suspek pertama polis menyerbu sebuah kondominium di Sentul dan menahan wanita terbabit.

“Hasil soal siasat awal mendapati wanita tersebut merupakan seorang pekerja swasta di sebuah syarikat insurans dan tidak mengakui penglibatannya dalam kes yang sedang disiasat,” katanya.

Selain itu beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta Mercedes, dua telefon bimbit dan dua pasport.

“Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta hari ini bagi permohonan reman,” katanya.

Pada 17 Oktober polis menahan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar ‘Datuk’ serta isteri dan anak lelakinya bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Susulan itu polis menahan seorang lagi ahli perniagaan berhubung aktiviti pengubahan wang haram membabitkan syarikat penerbangan berkenaan, namun keempat-empat individu itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 26 Oktober polis menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 62 tahun di Menara KPJ manakala seorang lagi di kawasan Bukit Tunku di Kuala Lumpur. – Bernama, 6 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen