Kakitangan masih bekerja walaupun MYAirline digantung


Alfian Z.M. Tahir

Syarikat penerbangan MYAirline menggantung operasi secara tiba-tiba pada 12 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

KAKITANGAN MYAirline Sdn Bhd masih diminta untuk terus bekerja walaupun syarikat penerbangan itu telah menggantung operasinya, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Badan untuk kesatuan sekerja itu berkata status pekerja kekal sama walaupun selepas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggantung lesen perkhidmatan udara (ASL) syarikat penerbangan itu pada 1 November.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin berkata pekerja MYAirline dikehendaki bekerja kerana mereka masih belum menerima sebarang surat penamatan daripada syarikat itu.

“MTUC telah dimaklumkan bahawa pekerja masih dikehendaki bekerja, sebahagiannya dari rumah, kerana mereka masih belum mendapat surat penamatan perkhidmatan,” kata Kamarul kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata MTUC kini mengendalikan perkara itu, sambil menambah bahawa pekerja telah dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang akan kesan daripada syarikat itu.

Dalam e-mel yang dilihat oleh The Malaysian Insight, MYAirline menyatakan bahawa pekerja masih perlu bekerja dari rumah, sambil menambah bahawa mereka yang mempunyai arahan khusus, perlu berada di lapangan.

Sementara itu, bercakap kepada The Malaysian Insight, seorang pekerja yang ingin dikenali sebagai “Am” berkata bahawa dia telah bergelut untuk menampung kehidupan keluarganya berikutan masalah yang menyelubungi MYAirline.

Dia mendedahkan bahawa dia akan kehilangan keretanya bulan depan jika tidak dapat membuat sebarang pembayaran pada akhir November.

“Bukan saya sahaja, malah ramai lagi yang menghadapi masalah yang sama.

“Sekiranya saya tidak dapat membayar pinjaman kereta saya menjelang November, saya akan kehilangan kereta saya kepada bank. Selain itu kami masih perlu bekerja dari rumah.

“Saya tidak terlalu tertekan tentang kereta, tetapi saya sangat bimbang dengan keluarga saya. Ya, isteri saya juga bekerja tetapi saya pencari nafkah. Saya tidak boleh biarkan isteri saya uruskan semuanya,” katanya.

Seorang pekerja lain turut senada dengan Am dan menyatakan simpati terhadap rakan sekerjanya yang lain.

Katanya, dia sudah mengemukakan permohonan untuk bekerja di syarikat lain tetapi masih belum menerima maklum balas.

“Untuk menganggap diri saya bernasib baik adalah tidak wajar. Semua orang sedang berjuang. Seperti saya, saya mempunyai ibu bapa yang perlu saya jaga. Orang lain yang sudah berkahwin, mereka ada anak, rumah untuk dibayar dan mungkin pinjaman bank.

“Tidak mendapat gaji adalah masalah besar bagi kami. Sebab itu ada yang sudah membuat laporan polis. Mari kita lihat bagaimana keadaan berlaku dalam seminggu dua ini,” katanya yang berusia 29 tahun dan masih bujang.

Pada Khamis, Kementerian Sumber Manusia memberitahu pekerja MYAirline untuk menghubungi Jabatan Buruh mengenai tunggakan gaji mereka.

Pekerja di syarikat penerbangan itu berada dalam kesusahan selepas syarikat penerbangan itu menggantung operasi secara tiba-tiba pada 12 Oktober.

Kementerian menggesa kakitangan yang tinggal untuk melakukan perkara yang sama. Syarikat penerbangan itu mempunyai hampir 700 pekerja.

Pada Khamis, Mavcom menggantung lesen perkhidmatan udara MYAirline berkuat kuasa serta-merta.

Agensi kawal selia itu berkata keputusan itu dibuat berikutan kegagalan MYAirline mematuhi syarat pelesenannya dan penggantungan operasinya.

Menurutnya penjelasan syarikat penerbangan itu tidak memuaskan.

Kira-kira 117,000 penumpang yang memegang tiket bernilai RM22 juta terjejas akibat penggantungan syarikat penerbangan itu. – 4 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen