MYAirline tak mungkin dapat pelabur baharu, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Lesen perkhidmatan udara MyAirline digantung berkuat kuasa Rabu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

TIDAK mungkin MYAirline akan mendapat pelabur baharu selepas Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan tambang murah itu digantung, kata seorang penganalisis.

Shukor Yusof, yang juga pengasas firma perundingan penerbangan Endau Analytics, berkata keputusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk membatalkan ASL MyAirline berkuat kuasa Rabu lalu (1 November) umpama penamat riwayat syarikat yang dibelenggu masalah kewangan itu.

“Tak mungkin ada mana-mana pelabur berminat dengan syarikat penerbangan yang lesennya sudah dibatalkan. Tiada ASL bermakna segala-galanya sudah berakhir,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penganalisis penerbangan itu mengulas pengumuman Mavcom pada Rabu lepas mengenai penggantungan lesen perkhidmatan udara MYAirline.

ASL ialah lesen yang memberi kebenaran kepada syarikat penerbangan untuk beroperasi di negara ini. Lesen itu diperlukan untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo melalui udara.

Mavcom dalam satu kenyataan Rabu lalu berkata keputusan itu dibuat selepas syarikat itu gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung kegagalannya untuk mematuhi syarat-syarat ASL dan penggantungan operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Shukor berkata keputusan Mavcom itu tidak mengejutkan kerana suruhanjaya itu sebelum ini telah menyatakan keraguan terhadap alasan MYAirline menggantung operasinya dan mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap syarikat penerbangan itu.

Dalam kenyataannya pada Rabu lalu, Mavcom berkata surat tunjuk sebab itu dikeluarkan pada 13 Oktober, mengarahkan MYAirline untuk memberi penjelasan bertulis dalam tempoh 14 hari.

Menurut Mavcom penjelasan bertulis MYAirline diterima pada 27 Oktober.

“Setelah mengkaji penjelasan bertulis tersebut, Mavcom telah memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan yang diberikan oleh syarikat penerbangan tersebut tidak memuaskan,” kata kenyataan itu.

MYAirline beroperasi tidak sampai setahun sebelum menggantung operasinya secara mengejut pada 12 Oktober.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan keputusan itu dibuat kerana tekanan kewangan, dan penggantungan itu perlu sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Keputusan mengejut itu menyebabkan seramai 125,000 penumpang terjejas, dengan kerugian kira-kira RM20 juta yang ditanggung oleh penumpang berdasarkan jualan tiket penerbangan syarikat terbabit.

Pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn Bhd Goh Hwan Hua sedang disiasat berkait kes pengubahan wang haram. – 4 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen