Tiger Stripes: Remaja perempuan tunjuk belangnya


Ruhan Shahrir

Tiger Stripes sebuah filem yang memancing khalayak yang menghargainya untuk menonton berkali-kali kerana pada setiap kali tontonan pasti ada perkara-perkara baru yang akan ditemui. – 4 November, 2023.

TIGER Stripes adalah antara filem bikinan Malaysia yang terbaik pernah saya tonton.

Menontonnya membuatkan saya larut dalam realisme magis yang ditampilkan. Sarat dengan simbolisme, metafora, perlambangan dan alegori yang cukup halus serta berlapis-lapis.

Tiger Stripes sebuah filem yang memancing khalayak yang menghargainya untuk menonton berkali-kali kerana pada setiap kali tontonan pasti ada perkara-perkara baru yang akan ditemui.

Ia dimulakan dengan “close-up” wajah Zaffan, seorang gadis remaja menghampiri umur akil baligh yang bersekolah rendah di sebuah kawasan perkampungan Melayu di luar kota.

Menggunakan pendekatan “close-up” dalam membingkaikan wajah Zaffan pada babak permulaan adalah kaedah pengarahnya Amanda Nell Eu, mengungkapkan di lapisan pertama bahawa Tiger Stripes adalah kisah Zaffan sebagai protagonis sekali gus antagonis filem tersebut.

Ia kemudiannya disusuli dengan babak di bilik air sekolah yang menampilkan Zaffan bersama dua lagi teman sedarjahnya Farah dan Maryam sebagai suatu perlambangan bahawa di lapisan yang lebih halus, ia juga adalah kisah remaja-remaja perempuan Melayu di mana pun mereka berada, siapa pun mereka yang sedang berhadapan dengan proses mendewasa yang rumit, baik secara biologi, budaya, politik mahu pun sosial.

Pemilihan bilik air sekolah sebagai lokasi permulaan adalah pengungkapan Eu kepada konsep reruang dalam kehidupan manusia.

Dalam konteks ini bilik air adalah ruang separa-peribadi tersorok yang membolehkan remaja perempuan melakukan bersama-sama sesuatu yang dianggap “tidak normal” oleh pihak sekolah.

Ia berada di luar ruang institusi birokrasi iaitu sekolah yang punya aturan, norma, budaya dan politiknya yang dikawal pula oleh mereka yang diberikan autoriti oleh negara untuk “menormalisasikan” tingkah laku murid-murid yang menjadi objeknya.

Bilik air adalah ruang yang pada umumnya di luar kawalan autoriti sekolah yang membolehkan mereka meluahkan individualiti mereka baik secara berseorangan mahu pun berkumpulan.

Pengarah Tiger Stripes, Amanda Nell Eu mengungkapkan di lapisan pertama bahawa filem itu adalah kisah Zaffan sebagai protagonis sekali gus antagonis filem tersebut.

Justeru babak Zaffan menari dengan gaya terkini “TikTok” yang dirakamkan menerusi telefon bimbit oleh temannya, adalah pernyataan simbolik Eu dalam mengungkapkan sebahagian tingkah laku remaja perempuan masa kini yang menggunakan teknologi dan media sosial untuk mempamerkan sisi peribadi mereka buat tatapan khalayak awam di wadah-wadah media sosial.

Peralihan bingkai format filem layar lebar kepada bingkai telefon bimbit ketika Zaffan menari dengan gaya lincah adalah suatu pernyataan betapa tipis dan samar antara dunia nyata dengan dunia media sosial.

Klip beberapa saat boleh sahaja dianggap oleh khalayak awam sebagai realiti daripada keseluruhan perjalanan hidup Zaffan yang hakikatnya lebih rumit dan kompleks di dunia nyata. Suatu natijah masyarakat pasca-moden dan pasca-kebenaran.

Ruang bilik air yang bersifat separa-peribadi itu sendiri pula dipisahkan antara ruang kumpulan dan ruang perseorangan.

Dalam konteks filem Tiger Stripes, ruang perseorangan adalah tandas. Meskipun tandas adalah ruang perseorangan yang peribadi, tidak semestinya ia tidak boleh diceroboh.

Pencerobohan ruang peribadi itu dikisahkan dalam babak di bilik air apabila teman-teman perempuan Zaffan sendiri secara bergerombolan memecahkan pintu tandas untuk menarik beliau keluar dan mereka kemudiannya bergelut serta memukulnya.

Ketika keadaan tidak terkawal, cikgu sekolah dipanggil dan ruang bilik air itu pula dimasuki oleh mereka yang diberikan autoriti.

Dari tandas ke bilik air kedua-dua ruang tersebut ditembusi pertamanya oleh gerombolan dan keduanya autoriti negara untuk mengekang Zaffan yang dianggap telah berubah menjadi “pelik”.

Hatta tandas yang merupakan ruang yang paling peribadi sekali pun, akan ada cubaan untuk menceroboh baik oleh gerombolan, mahu pun autoriti negara.

Di tandas sekolah tersebut jugalah Zaffan menggeluti kerumitan perubahan biologi tubuhnya selepas didatangi haid.

Perubahan biologi tubuhnya itu diberikan perlambangan oleh Eu menerusi mitos tempatan masyarakat Melayu, yakni harimau jadian.

Ia menakutkan tetapi pada masa yang sama ia juga adalah pelindung.

Dalam babak pergelutan antara Zaffan dengan teman-temannya dan cikgu sekolah di bilik air itu, beliau berjaya menyelamatkan dirinya apabila berubah menjadi harimau jadian.

Suatu paradoks dalam memerikan kerumitan perempuan remaja yang sedang dalam proses mendewasa.

Perjalanan Zaffan mendewasa ditandai dengan kedatangan haid. Ia disebut oleh ibu Zaffan di dalam filem tersebut sebagai “darah kotor”.

Diceritakan sebagai “makanan hantu dan jin” oleh teman-temannya. Sebuah hakikat kepada mitos-mitos budaya yang tersebar di dalam masyarakat Melayu khususnya sehingga kini.

Justeru, peristiwa histeria yang melanda remaja-remaja perempuan di sekolah tersebut dikaitkan dengan kerasukan mahkluk ghaib yang laparkan “darah kotor”.

Bagi “mengubati” fenomena remaja-remaja perempuan yang “dirasuk” itu, maka seorang pengamal perubatan ilmu ghaib dijemput datang.

Beliau ditampilkan dengan “pakaian dan peralatan” agama tetapi menggunakan teknologi telefon bimbit “live streaming” untuk mengiklankan perkhidmatan beliau.

Suatu hakikat masa kini yang banyak terlihat di saluran-saluran YouTube dan TikTok khususnya. Namun beliau gagal mengubati remaja-remaja perempuan tersebut termasuklah Zaffan.

Sebaliknya ketika pengamal perubatan ilmu ghaib itu cuba mengubati Zaffan dengan kaki dan tangan Zaffan dipegang, manakala tubuhnya dipukul untuk mengeluarkan “hantu dan jin” yang “merasuk” tubuhnya, Zaffan sekali lagi berubah menjadi sang harimau jadian.

Zaffan sang harimau jadian dalam upayanya untuk menyelamatkan diri daripada dihukum dengan pukulan telah menggigit leher pengamal perubatan ilmu ghaib itu sehingga kepalanya terpenggal dan tercampak ke luar tingkap rumah.

Mungkin pengamal perubatan ghaib tersebut dapat menyelamatkan lehernya daripada terpenggal jika beliau menelaah terlebih dahulu karya Aihwa Ong, “The Production of Possession” atau “Yang Menghasilkan Kerasukan”.

Setelah membunuh pengamal perubatan ghaib tersebut, Zaffan sang harimau jadian bingkas terjun dari rumahnya.

Berhadapan dengan seluruh masyarakat kampung yang membawa segala macam senjata untuk menangkapnya, Zaffan akhirnya melarikan diri ke hutan.

Di hutan Zaffan tenang tidak diganggu oleh sesiapa lagi, baik keluarga, masyarakat mahu pun sekolah, untuk beliau bebas menjadi dirinya sendiri sebagai harimau yang baru tumbuh belangnya.

Malahan beliau kemudiannya disertai pula oleh temannya Maryam yang memahami kerumitan perubahan sikap dan sifat Zaffan.

Kedua-dua mereka bermain kejar-mengejar, sorok-menyorok di waktu remang-remang malam yang samar sebelum diganggu oleh seorang lagi teman mereka, Farah.

Dalam kesamaran malam antara nampak dengan tak nampak, Farah cuba menarik Maryam keluar daripada bermain-main dengan Zaffan, sehinggalah kaki Farah dicakar oleh Zaffan sang harimau jadian.

Perjalanan hidup remaja perempuan yang meniti di garis samar, antara terang dan gelap, antara kanak-kanak dan dewasa, di permulaan kedatangan haid, sememangnya sukar seperti mana yang dinukilkan oleh Tiger Stripes.

Proses menjadi dewasa untuk remaja perempuan, memerlukan mereka berhadapan dengan situasi mencakar dan dicakar.

Dicakar oleh psikologi massa yang dibentuk oleh budaya tempatan, keluarga, masyarakat dan institusi negara.

Mencakar sebagai suatu bentuk perlawanan untuk mereka menampilkan individualiti mereka sebagai manusia bebas yang di dalam proses pencarian makna sebagai perempuan yang mendewasa.

Babak akhir Tiger Stripes menampilkan Maryam yang sedang memegang telefon bimbit ingin merakam Zaffan yang tidak kelihatan.

Bagaimanakah keadaan dan rupa Zaffan dalam rakaman telefon bimbit tersebut tidak terlihat oleh khalayak yang menonton. Hanya andaian yang boleh dilakukan.

Apakah Zaffan pada akhirnya menjadi seperti harimau di Bukit Besi Terengganu yang menjadi jinak dan hilang belangnya atau pun belangnya terus tumbuh terang dan menentang, menongkah arus budaya, keluarga, masyarakat, negara dan sistem patriaki yang cenderung mengekang dan membenam wujudiah peribadi seorang perempuan remaja yang di dalam pencarian diri.

Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Kalau tidak berdayung ke hulu manakan dapat punca air sungainya. – 4 November, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen