Anwar:The Untold Story akan tayang di lebih 100 pawagam, kata pengedar


Mohd Farhan Darwis

Pengarah Filem "Anwar:The Untold Story" Viva Westi bercakap semasa pelancaran filem berkenaan pada 1 Mac lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mei, 2023.

FILEM “Anwar:The Untold Story” akan ditayangkan di 110 pawagam di seluruh negara bermula 18 Mei ini, kata syarikat pengedar rasminya, DMY Creation, di tengah musim tayangan filem blockbuster antarabangsa.

Filem itu masuk pawagam serentak dengan tayangan Fast X, filem yang ke-10 dan yang terakhir daripada siri Fast & Furious sebelum disaingi pula filem aksi tempatan Polis Evo 3 seminggu kemudian.

Penerbit Eksekutif DMY Creation Mohd Maidin Abdullah berkata pihaknya akan memulakan siri pengiklanan besar-besaran filem Anwar bermula Selasa depan untuk menonjolkannya dalam persaingan dengan filem popular berkenaan.

“Kita sudah rancang akan buat (iklan) di semua media sosial, menjelang Selasa minggu depan kita akan iklankan besar-besaran di seluruh negara, termasuk Brunei dan Singapura,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mohd Maidin menjelaskan Anwar: The Untold Story tidak memohon tayangan bawah Skim Wajib Tayang kerana proses tersebut memakan masa.

Jelasnya, filem arahan Viva Westi dari Indonesia itu juga tidak memohon untuk diletakkan di bawah Skim Wajib Tayang kerana ia perlu ditayangkan segera.

“Skim Wajib Tayang ada proses sendiri, paling awal tiga bulan paling lambat enam bulan, (tidak mohon wajib tayang) bukan sebab filem luar, filem ini nak ditayangkan awal, kita tak boleh tunggu. 

“Memang boleh mohon skim wajib tayang tapi kita tak nak tunggu sehingga enam bulan,” katanya.

Penerbit Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar bergambar bersama pelakon

Filem yang diletakkan bawah Skim Wajib Tayang mendapat perlindungan untuk kekal di pawagam selama 14 hari mengikut peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Biarpun tidak masuk bawah Skim Wajib Tayang, Mohd Maidin yakin filem Anwar akan bertahan berdasarkan minat awal banyak pihak untuk menontonnya di pawagam.

“Sambutan amat menggalakkan, ada yang hubungi kita tanya bagaimana nak tempah dewan panggung wayang dan sebagainya.

“Kita kena tunjuk filem tempatan tidak dipandang rendah, kita ada kapasiti untuk bersaing, kalau setiap kali takut bila nak ke depan bersaing dengan filem antarabangsa,“katanya lagi.

Pihaknya juga berharap filem berkenaan akan mendapat sambutan rakyat dari pelbagai lapisan.

“Ini pun bukan filem politik, ini filem mengenai perjuangan seorang individu orang politik.

“Kita harap rakyat Malaysia akan betul-betul sokong kita,” tambahnya.

Filem itu mengangkat latar antara 1993 dan 1998 ketika Anwar menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir Mohamad serta perjuangan dan sikapnya terhadap amalan rasuah dan penyelewengan.

Anwar dipecat dari Umno dan kerajaan pada 2 September 1998 dan ditahan seketika bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) lebih dua minggu kemudian.

Semasa dalam tahanan, beliau diserang oleh bekas ketua polis negara ketika itu Abdul Rahim Noor sehingga menyebabkan mata kirinya lebam. Gambar mata lebam Anwar menjadi antara simbol gerakan Reformasi, yang genap 25 tahun pada September ini.

Anwar: The Untold Story dibintangi pelakon Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mei, 2023.

Anwar: The Untold Story dibintangi pelakon Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar manakala aktres Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Filem yang menelan belanja RM10 juta itu turut menjalani penggambaran di Malaysia dan Indonesia.

Filem itu diterbitkan oleh Bianglala Entertainment.

Tayangan perdana filem tersebut yang berlangsung pada 8 Mei lalu di Kuala Lumpur lalu turut dihadiri Anwar dan Dr Wan Azizah.

Anwar berkata, beliau tersentuh dengan filem tersebut, walaupun keseluruhan dialog dan penceritaan tidak 100% sama namun isu yang dibangkitkan dalam karya berkenaan adalah kejadian sebenar.

Ahli Parlimen Tambun itu turut memuji hasil karya sutradara dari Indonesia itu yang disifatkan pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan 23 tahun lalu kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit. – 12 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen