Kerajaan sedia RM160 juta galak bakat kreatif tempatan


Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 hari ini menyeru kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

KERAJAAN menyediakan RM160 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni dalam usaha menyokong bakat-bakat kreatif tempatan dan menggalakkan lebih banyak penghasilan karya seni di Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM60 juta diperuntuk di bawah Dana Kandungan Digital bagi mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.

Beliau berkata sebanyak RM90 juta pula diperuntuk di bawah inisiatif Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam usaha menyokong anak-anak seni menghasilkan projek kreatif.  

“Bakat-bakat kreatif tempatan akan terus disokong bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini.

Susulan keputusan Selangor menurunkan kadar duti hiburan, Anwar berkata kerajaan turut bercadang menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25% kepada kadar baharu. 

Ia merangkumi pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan dan pengurangan kepada lima peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan dalam bangunan serta simulator.

Perdana menteri berkata selain itu, pengurangan kepada 10% duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

“Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbang pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara,” katanya.

Anwar berkata kerajaan bercadang menetapkan kadar cukai pendapatan khas di antara 0 hingga 10% kepada syarikat produksi filem, pelakon asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran di Malaysia.

“Saya telah meneliti input yang diterima semasa Jelajah Belanjawan Madani di Johor terkait pendekatan kerajaan dalam menggalakkan kemasukan produksi filem asing ke Malaysia dan seterusnya menyaingi tawaran insentif negara lain,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan sebagai pengiktirafan dan penghargaan tahap tertinggi kepada tokoh serta penggiat seni, budaya dan warisan. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen