Solidariti bukannya pakai baju ala tentera, bawa senjata mainan 


GOLONGAN kanak-kanak tidak seharusnya didedahkan dengan sebarang aktiviti atau program yang ada elemen sensitif atau ekstrem. 

Ini bagi memastikan perkembangan kanak-kanak tidak terganggu dengan sebarang isu yang boleh membantutkan proses pembesaran mereka terutamanya dari aspek mental dan emosi. 

Baru-baru ini tular gambar serta klip video yang memaparkan situasi guru dan murid sedang memegang senjata mainan sambil mengenakan skarf di kepala dan meletakkan bendera Palestin di bahu, sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin. 

Ini adalah sebahagian daripada program “Minggu Solidariti Palestin” yang diadakan bagi menunjukan sokongan kita terhadap rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan kekejaman dan penindasan Israel. 

Walaupun niat program ini diadakan adalah baik dan murni bagi menyokong rakyat Palestin yang sedang menderita serta bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada golongan muda terhadap perjuangan rakyat Palestin, namun ia haruslah dilakukan dengan dengan berpada-pada. 

Terdapat batasan yang harus diikuti bagi menjayakan program ini serta program-program lain. Sebarang program yang ingin diadakan harus dipastikan tidak memiliki sebarang aktiviti atau unsur yang boleh mendedahkan semua pihak khususnya golongan kanak-kanak kepada perkara yang memudaratkan. 

Memegang sebarang jenis senjata walaupun sekadar mainan tidak sepatutnya dibenarkan berlaku kerana ia boleh memberi kesan terhadap proses mental dan emosi golongan kanak-kanak. 

Kanak-kanak tidak sepatutnya didedahkan dengan sebarang jenis senjata dari peringkat awal lagi. 

Golongan dewasa pula tidak sepatutnya mempamerkan sebarang bentuk senjata kepada golongan kanak-kanak bagi mengelakkan pengaruh negatif kepada golongan kanak-kanak.  

Ramai pihak melahirkan rasa kebimbangan mereka terhadap perkara yang berlaku ini.

Pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memandang perkara ini dengan serius serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat. 

Pihak KPM perlu memantau semua program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh semua sekolah dalam negara kita bagi memastikan tiada sekolah yang melakukan sebarang program atau aktiviti secara melampau sehingga boleh mengundang masalah kepada ibu bapa, penjaga dan para pelajar. 

Terdapat banyak lagi pengisian yang lebih berfeadah dan bermanfaat yang boleh diisi di dalam program “Minggu Solidariti Palestin” ini seperti aktiviti menulis karangan mengenai sejarah Palestin, membaca sajak sebagai dedikasi terhadap perjuangan rakyat Palestin, pertandingan debat secara ilmiah mengenai konflik antara Palestin dan Israel dan lain-lain aktiviti lagi. 

Kenapa pula kita perlu selitkan program ini dengan aktiviti memakai fesyen ala pejuang Palestin dan membawa senjata mainan yang tidak membawa sebarang makna disamping membuang duit, masa dan tenaga? 

Pada masa yang sama, sudah sampai masanya juga kita mengambil langkah drastik bagi memastikan golongan kanak – kanak dalam negara kita tidak terdedah dengan sebarang pengaruh politik melampau. 

Selain isu tular yang dinyatakan di atas, kita juga perlu mengambil langkah bagi melindungi golongan kanak-kanak akibat daripada kenaikan had usia mengundi. 

Seperti yang diketahui, dua tahun dulu, negara kita mengambil langkah meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dengan menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun. 

Susulan pindaan terhadap Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun ini, semua pihak khususnya ahli politik perlu mengelakkan diri mereka daripada melakukan sebarang jenis kempen politik awal terhadap golongan yang berada bawah usia 18 tahun yang rata-ratanya masih bersekolah. 

Menjadi satu kebimbangan dengan turunnya had usia mengundi ke usia 18 tahun dalam negara kita, ahli-ahli politik serta parti politik yang tidak bertanggungjawab akan mula melakukan proses kempen politik mereka kepada golongan yang berada di bawah usia sebagai langkah awal untuk mereka memulakan kempen politik. 

Usaha harus diambil oleh semua pihak khususnya pihak Kementerian Pendidikan, pihak pengurusan sekolah serta para guru supaya para pelajar di sekolah mereka tidak menjadi mangsa kempen agresif dari mana-mana ahli politik dan parti politik. 

Terdapat pelbagai cara atau langkah yang boleh diambil bagi melindungi golongan kanak-kanak dan salah satu cara bagi melindungi golongan kanak-kanak terbabit ialah melalui proses undang-undang. 

Negara kita memiliki Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang digunakan bagi melindungi golongan kanak-kanak bawah usia 18 tahun. 

Walaupun sudah terdapat pelbagai jenis peruntukan bagi melindungi golongan kanak-kanak dan bawah umur di dalam Akta 611 ini, namun ia dilihat masih tidak mencukupi dalam melindungi golongan kanak-kanak khususnya daripada pengaruh politik dan kempen politik pihak tidak bertanggungjawab. 

Oleh demikian, pihak kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu peruntukan yang lebih jelas dalam Akta 611 ini ataupun mewujudkan satu bentuk peruntukan undang-undang baru yang lebih khusus dan berasingan supaya dapat melindungi golongan kanak-kanak ini daripada dipengaruhi oleh sentimen dan kempen politik serta menyediakan satu bentuk hukuman yang keras terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang ini. 

Cadangan kewujudan peruntukan undang-undang dalam perkara ini adalah penting supaya semua pihak dalam negara kita jelas mengenai isu ini serta mengambil berat dalam perihal melindungi golongan kanak-kanak daripada terdedah dengan mana-mana pengaruh politik dan kempen politik yang boleh menjejaskan kestabilan minda, emosi serta keseluruhan proses perkembangan mereka. 

Pada masa sama ia boleh memberi satu bentuk peringatan serius kepada semua pihak dalam negara kita supaya tidak menganggu golongan kanak-kanak sehingga menganggu proses pembesaran dan pembelajaran mereka. – 29 Oktober, 2023.

* Dr Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen