Pendidik mahu peruntukan bagi program digital di sekolah


Alfian Z.M. Tahir

Kesatuan guru mendesak kerajaan agar membuat perancangan bagi mengurangkan beban yang tidak perlu daripada guru sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2023.

PERUNTUKAN untuk program digital di sekolah, menangani kekurangan guru di seluruh negara dan menyegerakan pembaikan sekolah daif adalah antara perkara yang diharapkan oleh kesatuan guru dalam Belanjawan 2024.

Presiden Kesatuan Guru Malaysia Barat Jasni Md Kechik dan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fauzi Singon berkata mereka juga ingin melihat dana digunakan untuk membeli komputer riba dan papan putih interaktif (smart board) mencukupi di sekolah serta sambungan Internet yang lebih baik.

Mereka berkata tanpa kemudahan sedemikian, program pendigitalan tidak akan menjadi kenyataan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pada Julai peruntukan tambahan RM1.4 bilion untuk membaiki sekolah daif di negara ini.

Katanya, peruntukan itu termasuk RM185.37 juta untuk Kelantan, Terengganu (RM78.93 juta) dan Pahang (RM64.15 juta).

Bagi Belanjawan 2023, Putrajaya memperuntukkan RM55.2 bilion untuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan RM15.3 bilion untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Peruntukan itu, peningkatan daripada RM52.6 bilion pada 2022 untuk KPM dan RM14.5 bilion untuk KPT dalam tempoh yang sama, adalah untuk meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan dan kesejahteraan warga pendidik dan pelajar sehingga ke peringkat universiti.

“Perdana menteri bercakap tentang kepentingan pendigitalan, oleh itu perlu ada dana mencukupi untuk membeli komputer riba, smart board dan capaian Internet untuk merealisasikannya.

“Jika tidak, sukar bagi guru, sekolah mahupun kementerian untuk mencapai sasaran itu,” kata Jasni.

“Kedua, kerajaan mesti membaiki dan bina bangunan baharu. Ini bagi mengelakkan kesesakan dalam bilik darjah. Di sesetengah sekolah, terdapat kira-kira 35 hingga 40 pelajar dalam satu kelas.

“Jika kami mempunyai bilik darjah baharu, kami boleh menawarkan suasana pembelajaran yang lebih baik untuk para pelajar.

“Bukan setakat pelajar, guru juga akan berasa selesa untuk mengajar apabila bilangan murid berkurangan,” tambahnya.

Jasni turut menyentuh beban tugas berat yang dihadapi oleh guru di kebanyakan sekolah.

Beliau berkata Putrajaya harus membuat rancangan mengurangkan beban yang tidak perlu daripada guru sekolah.

Beliau turut mencadangkan pemberian elaun kepada guru yang mempunyai beban tugas tambahan. Sebagai contoh, seorang guru disiplin akan menerima tambahan RM50 sebulan, seorang guru yang juga setiausaha kokurikulum di sekolah akan menerima tambahan RM30 pada hujung bulan.

“Seorang guru kelas yang juga perlu mengajar mata pelajaran lain sepatutnya mendapat RM50 kerana tugas tambahan. Saya rasa ini boleh dilakukan kerana elaunnya tidak seberapa. Elaun khas ini hanya untuk guru yang mempunyai beban tugas tambahan.

“Ia lebih kepada skim bersasar dan bukannya elaun penuh bagi semua guru. Pada masa ini ramai guru tidak mempunyai masa untuk berehat di sekolah. Selain mengajar, mereka juga perlu menyiapkan tugasan lain,” katanya.

Anwar baru-baru ini berkata KPM akan menjadi antara yang akan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Oktober. – 4 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen