Kementerian Pendidikan Malaysia tarik diri dari Pesta Buku Frankfurt 2023


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 bagi membantah sokongan penganjur terhadap Israel.

“KPM tidak akan sesekali berkompromi terhadap keganasan Israel di Palestin. Ia jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Keputusan yang diambil KPM adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin,” kenyataan itu dipetik.

KPM menyertai pesta buku terbesar dunia itu melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Ia menganggotai majlis tersebut bersama beberapa kementerian, agensi kerajaan, persatuan industri buku dan NGO yang bersabit dengan perusahaan buku.

MBKM antara lain dijadualkan membawa 50 judul terbaik Malaysia untuk dagangan hak cipta antarabangsa sewaktu Pesta Buku Frankfurt 2023 berlangsung bermula 18 hingga 22 Oktober.

Keputusan sama diumumkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menarik diri dari pesta buku itu, selaras dengan pendirian Malaysia dalam konflike Palestin - Israel waktu ini.

Seorang penerbit Malaysia Ninot Aziz turut mengumumkan menarik diri dari menyertai pesta buku itu.

Pengarang itu berkata syarikat penerbitannya Hikayat Fandom menyokong penuh keputusan kementerian dan turut menarik penyertaan.

Naib presiden Malaysia Oral Literature Society itu dijadualkan menyertai satu program dialog di pavilion India di pesta buku tersebut pada 20 Oktober.

Perkembangan itu menyusuli pendirian beberapa badan penerbit terkemuka Arab yang turut mengumumkan menarik diri dari pesta tersebut atas tujuan sama.

Arab Publishers Association, Sharjah Book Authority dan Emirates Publisher Association antara badan yang mengumumkan menarik diri dari acara dagangan itu.

Selain mengecam pendirian pro-Israel pengajur, ia juga bagi membantah pembatalan acara anugerah bagi pengarang Palestin Adania Shibli dalam jadual Pesta Buku Frankfurt 2023.

Adania sepatutnya menerima anugerah LiBeraturpreis pada 20 Oktober sewaktu Pesta Buku Frankfurt bagi novelnya bertajuk Minor Details.

Minor Details merakam kisah seorang Badwi Palestin yang dirogol dan dibunuh tentera Israel.

Novel yang diterjemah ke beberapa bahasa itu antara finalis National Books Awards Amerika Syarikat 2020 dan masuk senarai panjang penerima International Booker Prize 2021.

Di Malaysia, kecaman ke atas tindakan penganjur Pesta Buku Frankfurt 2023 disuarakan kalangan penerbit seperti Buku Fixi, Karangkraf dan Arcane Literature & Kinderstories.  – 16 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen