KPM digesa cari punca isu keciciran pelajar


Angie Tan

Data KPM dari 2019 hingga tahun lepas, menunjukkan punca utama keciciran pelajar ialah kurangnya minat terhadap persekolahan, kerja, isu keluarga, perkahwinan, dan kesukaran ke sekolah kerana jarak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2023.

KADAR keciciran pelajar ke sekolah mungkin di bawah 1% tetapi ia masih membimbangkan seorang wakil rakyat Selangor yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama dengan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah dalam mencari punca masalah itu.

Adun Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berkata PIBG, sebagai pertubuhan akar umbi yang dianggotai oleh ibu bapa, seharusnya dapat mengumpul maklumat diperlukan untuk membantu kementerian merangka dasar bagi menangani masalah itu.

Statistik yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching kepada Parlimen baru-baru ini menunjukkan dari 2019 hingga tahun lepas, punca utama pelajar tercicir ialah kurangnya minat terhadap persekolahan, kerja, isu keluarga, perkahwinan, dan kesukaran ke sekolah kerana jarak.

Beliau berkata kadar keciciran di sekolah rendah menurun daripada 0.12% pada 2019 kepada 0.07% tahun lepas, dan sekolah menengah, daripada 1.14% kepada 0.99%.

Mengikut perangkaan terkini kerajaan mulai 2020, terdapat 4.6 juta pelajar di sekolah kerajaan di seluruh negara - 2.7 juta di sekolah rendah dan 1.9 juta di sekolah menengah.

Leong memberitahu The Malaysian Insight pengalamannya membantu pelajar kembali ke kelas selepas mereka tercicir tanpa sebarang penjelasan.

Dalam satu kes, seorang pelajar didapati ponteng sekolah selama dua minggu.

Beliau berkata guru prihatin pelajar itu kemudian memutuskan untuk melawatnya di rumah.

“Mereka mendapati bapa pelajar itu yang juga seorang penagih dadah menghalang anaknya daripada hadir ke sekolah.”

Beliau berkata beberapa guru kemudian meminta bantuannya untuk membawa pelajar itu kembali ke sekolah.

“Kami mengatur agar ibu dan pelajar itu keluar dari rumah mereka, dan pelajar itu dapat kembali ke sekolah.”

Dalam kes lain, beliau berkata seorang murid sekolah rendah tidak hadir ke sekolah kerana kehidupan yang sukar di rumah.

Ibu bapanya mengutip sampah mencari rezeki dengan menjual barang-barang yang boleh diguna dan kitar semula yang dibuang orang. Mereka tiada masa anak.

Leong berkata PIBG perlu peka dengan pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah dan mereka harus cuba untuk mengetahui puncanya.

“Hari ini penting untuk memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan agar mereka dapat menghadapi masa akan datang.”

Adun Mengkibol, Chew Chong Sin berkata salah satu cara untuk membendung keciciran adalah dengan guru menjadikan pelajaran lebih menarik.

“Guru perlu mengajar dengan baik, dan mereka perlu menjadikan pembelajaran menarik,” kata Adun Johor itu.

Beliau berkata ada pelajar memberitahunya yang mereka tidak suka pergi ke sekolah kerana kelas membosankan.

“Pelajar berasa guru mereka tidak menarik perhatian. Kini, pelajar didedahkan dengan pelbagai media. Sekolah tidak boleh lagi terlalu mengikut buku teks.”

Beliau berkata beberapa pelajar memberitahunya apa yang diajar oleh guru di sekolah boleh didapati dalam talian.

Jadi mereka bertanya “mengapa perlu menghadiri kelas?”

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Cina Malaysia, Loh Tian Hong, mencadangkan KPM mengadakan kempen untuk menyampaikan mesej kepada pelajar mengapa mereka perlu menamatkan pendidikan menengah.

Ini akan membantu ibu bapa dan pelajar memahami betapa seriusnya keciciran, katanya.

Selain itu, Loh berkata sekolah perlu peka dengan pelajar yang tidak hadir secara berterusan dan tidak dapat dijelaskan serta memberi kaunseling serta bantuan kepada mereka.

“KPM juga boleh mengambil peranan dengan menjalankan siasatan sendiri untuk memahami sebab sebenar pelajar ini tercicir.”

Pada 11 Oktober lepas, timbalan menteri pendidikan turut mendedahkan kementerian sedang merangka pindaan Akta Pendidikan untuk melanjutkan pendidikan wajib dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Bagi menyemak semula perundangan sedia ada, KPM mengambil pelbagai langkah, termasuk rundingan dengan pihak berkepentingan,” kata Teo. – 25 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen