Ada masa bersiap untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kata persatuan pelancongan


Diyana Ibrahim

Persatuan pelancongan yakin tempoh 26 bulan yang ada cukup untuk memperkemaskan persiapan Malaysia menyambut pelancong dari dalam dan luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2023.

KEKURANGAN pekerja mahir dalam sektor pelancongan serta kemudahan kepada pelancong adalah antara beberapa isu yang perlu Putrajaya selesaikan sebelum Tahun Melawat Malaysia 2026, kata persatuan pelancongan.

Mereka yakin tempoh 26 bulan yang ada cukup untuk memperkemaskan persiapan Malaysia menyambut pelancong dari dalam dan luar negara.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata kerajaan perlu menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran atau profesional dalam dalam sektor pelancongan.

“Buat masa ini kelemahan sektor pelancongan kita adalah kekurangan tenaga kerja yang mahir terutama daripada kalangan rakyat tempatan.

“Ini memang menjadi satu isu yang dihadapi penggiat industri. Tapi memandangkan Tahun Melawat Malaysia ini berlaku pada 2026 kita masih ada masa untuk perbaiki kelemahan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau memberi contoh pekerja mahir yang diperlukan adalah dalam bidang hospitaliti di hotel dan restoran termasuk agensi pelancongan seperti di bahagian urusan penjualan tiket, bahagian operasi dan perkembangan produk.

Jelas beliau situasi itu terjadi selepas majoriti pekerja mahir beralih pekerjaan mereka semasa pandemik Covid-19.

“Masa Covid-19 disebabkan sektor pelancongan antara terjejas teruk kebanyakan pekerja dalam bidang hospitaliti ini mereka susah tukar pekerjaan

“Jadi kebanyakan tidak kembali kepada industri selepas pandemik kerana mereka dah ada pekerjaan lain yang mereka selesa.

“Sama juga dengan industri penerbangan yang kekurangan pekerja mahir kerana mereka pilih bekerja di sendiri, bekerja dari rumah. Kerana itu mereka enggan kembali bekerja dalam industri,” katanya.

Selain itu Wong berharap kerajaan mencari jalan untuk memastikan pengangkutan awam dan perkhidmatan pelancongan ditambah baik.

Ini termasuk kemudahan di semua pintu masuk negara di lapangan terbang, pelabuhan kapal pesiaran serta di sempadan darat.

“Ini yang paling utama dalam sektor pelancongan,” katanya.

Tambah beliau lagi antara kemudahan yang perlu ditambah baik ialah seperti kawasan pejalan kaki, tandas awam dan papan tanda di kawasan tempat pelancongan.

“Selain itu kemudahan parkir untuk bas persiaran, van di tempat tarikan pelancongan. Ini masalah besar yang selalu dihadapi agensi pelancongan di mana mereka tidak ada tempat untuk parkir kenderaan.

“Situasi ini tidaklah teruk tapi sebenarnya kita boleh buat lebih baik,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat minggu lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan penetapan semula Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

Kempen itu meletakkan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 billion.

Untuk itu Putrajaya menyediakan peruntukan RM350 juta untuk merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan dan mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Selain kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, peruntukan itu juga merangkumi bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan untuk menganjurkan aktiviti seni dan budaya.

Putrajaya juga antara lain menyediakan dana kepada pusat pelancongan Islam untuk membangunkan industri pelancongan mesra Muslim.

Peruntukan khusus RM20 juga disediakan kepada kerajaan negeri untuk menyelenggara dan memulihara beberapa lokasi tarikan pelancongan terpilih sementara RM80 juta diperuntukkan untuk memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh Unesco.

Malaysia membatalkan kempen tahun melawat pada 2020 susulan penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Pishol Ishak berharap tempoh dua tahun ini digunakan untuk menggiatkan kempen memperkenalkan slogan ‘Malaysia, Truly Asia’.

“Kalau hendak berjaya kena kekalkan slogan itu sebab ia sudah dikenali satu dunia. Ini strategi pemasaran kita yang paling kuat,” katanya.

Beliau berharap peruntukan yang disediakan oleh Putrajaya akan memperkasakan industri pelancongan yang masih bergelut biarpun dua tahun selepas pandemik.

Ahmad Phisol juga berharap kerajaan memberi perhatian untuk mengurangkan kesan kenaikan kos kepada pelancong susulan pelaksanaan cukai perkhidmatan 8% yang diperkenalkan mulai tahun depan.

“Percutian akan jadi mahal sebab penggiat industri nak serap balik kos kenaikan cukai.

“Biarpun mereka kata pelancong asing tidak terkesan kerana kejatuhan mata wang Malaysia tapi sebenarnya kesan itu sama sahaja.

“Kerajaan boleh menyemak semula, longgarkan untuk penggiat industri, kerana yang membangunkan polisi atau dasar ini adalah kerajaan,” katanya.

Dalam pengumumannya Anwar berkata tambahan cukai perkhidmatan 2% itu bagaimanapun tidak meliputi makanan dan minuman serta telekomunikasi. – 19 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen