Pelancong ke Sarawak boleh cecah 4 juta orang, kata menteri pelancongan


Desmond Davidson

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Hamzah jika angka ketibaan pelancong terus menunjukkan trend meningkat, sasaran tiga juta orang boleh dicapai sekitar September atau Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei 2023.

BERIKUTAN ketibaan pelancong ke Sarawak menunjukkan angka yang jauh lebih baik daripada jangkaan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Hamzah berkata angka sebenar mungkin akan lebih daripada tiga juta orang yang disasarkan, tahun ini.

Tahun ini merupakan tahun pertama sekatan akibat Covid-19 ditarik balik termasuk larangan rentas sempadan.

Menurut Karim, jika angka ketibaan pelancong terus menunjukkan trend yang meningkat, sasaran tiga juta orang itu boleh dicapai sekitar September atau Oktober ini.

“Hujung tahun ini kita mungkin boleh capai empat juta pelancong,” katanya.

Beliau menggunakan trend bagi tiga bulan pertama tahun ini sabagai penanda aras. Katanya, Sarawak mencatatkan hampir sejuta pelancong dalam tempoh itu.

Menurutnya, dari Januari ke Mac, angka pelancong asing yang datang ke Sarawak mencecah 496,636 orang manakala pelancong domestik seramai 427,361 orang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei 2023.

Jika dibandingkan dengan tahun 2022, angka pelancong asing hanya 10,563 orang manakala pelancong domestik 219,115 orang.

Bagi Mac sahaja, ketibaan pelancong seramai 323,960 orang berbanding 8,688 orang yang memasuki Sarawak dalam tempoh yang sama, tahun lalu.

Budaya, tradisi dan makanan bagi 31 kumpulan etnik menjadi fokus utama mempromosi pelancongan di Sarawak.

“Budaya, makanan dan keramahan orang tempatan adalah yang pelancong asing nak lihat,” kata Karim.

Beliau menjangkakan bakal melihat kemasukan pelancong bukan saja pada perayaan budaya seperti Pesta Babulang oleh komuniti Bisaya di Limbang, Pesta Nukenen oleh komuniti Bario tapi juga pada banyak lagi program muzikal dan seni, pertengahan tahun ini.

Tahun ini Pesta Babulang akan diadakan bermula 2 Jun hingga 4 Jun sementara Pesta Nukenen atau lebih dikenali sebagai pesta makanan Bario kebiasaannya diadakan pada Julai.

Bulan lalu, Sarawak kembali mengambil bahagian dalam pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia Internationale Tourismus-Börse (ITB) di Berlin untuk meletakkan negeri itu sebagai destinasi eko-pelancongan pilihan di rantau Asean.

Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Sebastian Ting (empat, dari kiri) ketika pelancaran pelancongan golf di Seoul, baru-baru ini. – Gambar STB, 7 Mei, 2023.

Kata Karim, kehadiran Sarawak di ITB Berlin mencerminkan usaha negeri itu ke satu lagi tarikan, eko-pelancongan.

Di sana, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menandatangani memorandum persefahaman dengan Tischler Reisen AG untuk kerjasama bagi meningkatkan ketampakan Sarawak dalam kalangan rakyat Jerman dengan tujuan menjadikan Bumi Kenyalang sebagai destinasi pilihan pelancongan oleh rakyat negara itu dan penduduk sekitarnya.

Tischler Reisen, sebuah agensi pelancongan yang menawarkan hotel, perjalanan pergi dan balik, melancong secara berkumpulan dan tawaran istimewa kepada pelancong seluruh dunia. – 7 Mei, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen