Operasi feri bermasalah, pelancong ke Langkawi merosot, kata pengusaha


Diyana Ibrahim

Langkawi juga sukar didatangi kerana operasi feri yang terpaksa dihadkan susulan masalah air cetek di jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

LANGKAWI masih bergelut menarik pelancong datang walaupun sempadan negara dibuka sepenuhnya sejak April tahun lepas, kata persatuan dan pengusaha pelancongan di pulau bebas cukai itu.

Malah kedatangan pelancong tempatan pun merosot dengan kebanyakannya dipercayai memilih ke Thailand kerana faktor kos yang hampir sama sekiranya melancong di dalam negara, kata mereka.

Selain hilang daya tarikan sebagai destinasi percutian yang murah, Langkawi juga sukar didatangi kerana operasi feri yang terpaksa dihadkan susulan masalah air cetek di jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif  Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir berkata jumlah pengunjung yang menggunakan perkhidmatan feri merosot hampir 40% setakat Mac ini.

“Kita sedia maklum pengangkutan utama pelancong domestik ke pulau ini adalah melalui jalan laut iaitu feri.

“Jumlah pengunjung kita merosot biarpun pada cuti sekolah yang patutnya adalah musim puncak di Langkawi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Operasi feri Langkawi kini dihadkan hanya lima perjalanan sehari dari Kuala Kedah dan tiga perjalanan dari Kuala Perlis berbanding 12 perjalanan keseluruhan sebelum ini dengan purata sehingga 5,000 penumpang sehari.

Perkhidmatan feri Langkawi beberapa kali dilaporkan terkandas kerana masalah air cetek, termasuk pernah digantung operasi dua hari pada awal Mac.

Pada September 2022, menteri pengangkutan pada masa itu Wee Ka Siong memaklumkan Langkawi memerlukan sebuah jeti feri yang baharu untuk mengatasi masalah air cetek di Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Menurut Zainuddin pengusaha pelancongan sebenarnya kecewa dengan tindakan lanjut kerajaan mengatasi isu tersebut.

“Kerja pengorekan sepatutnya dijalankan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi ia tidak dapat dibuat. Selepas itu tidak ada usaha juga dibuat hinggalah memberi kesan besar kepada operasi feri Langkawi.

“Ketika ini kita difahamkan kerajaan kata kerja pengorekan akan disiapkan pada 15 Mei ini jadi kita menunggu dan harap betul ia dapat diselesaikan,” katanya.

Kerja pengorekan untuk keselamatan pelayaran kali terakhir dilakukan pada 2019.

Dalam pada itu Zainuddin menafikan rungutan pelancong yang mendakwa kos bercuti ke Langkawi sekarang mahal.

Beliau menyifatkan Langkawi masih lagi destinasi percutian murah dan tiada harga makanan atau caj perkhidmatan yang naik melampau.

Zainuddin bagaimanapun mengakui ada pengusaha hotel dan chalet yang meletakkan harga yang terlalu mahal untuk kemudahan penginapan, menyebabkan kos bercuti ke Hatyai secara relatif jadi lebih murah.

“Sebab itu persatuan kita menggesa kerajaan untuk melaksanakan harga siling bilik bagi penginapan hotel supaya pengusaha tidak meletakkan harga terlalu mahal hingga memberi kesan kepada sektor pelancongan di pulau ini,” katanya.

Zainuddin berharap Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) yang akan berlangsung tidak lama lagi bulan depan akan merancakkan kembali sektor pelancongan di Langkawi.

“Kita menerima reaksi yang sangat positif dengan kebanyakan bilik sudah ditempah pada bulan penganjuran acara tersebut.

“Pihak persatuan juga akan memastikan supaya tidak ada pengusaha atau peniaga cuba mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengesan ada sesetengah barangan semakin mahal dan tidak kena dengan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai.

Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff percaya barangan tersebut dikenakan cukai tersembunyi yang tidak diketahui pembeli.

“Kalau dulu semua barang di Langkawi statusnya adalah bebas cukai. Sebagai contoh pinggan mangkuk memang dulu harga sangat murah kerana status bebas cukainya. Tapi sekarang harga sangat ketara menjadi mahal dan tidak ada beza kalau beli di tanah besar.

“Jadi kita percaya ada cukai yang tersembunyi yang dikenakan,” katanya.

Hal ini menyebabkan pelancong beralih bercuti di Thailand, tambahnya.

“Kita harap sektor pelancongan di Langkawi ditambah baik, tidak perlu jadi destinasi percutian yang terlalu mahal.

“Dulu Langkawi sangat terkenal dan pelancong suka datang ke pulau kerana mereka dapat bercuti dan berbelanja dengan murah…tidak seperti hari ini,” katanya.

Pada tahun lepas Langkawi merekodkan kedatangan 2,581,605 juta pelancong biarpun selepas sempadan negara dibuka dan tidak ada lagi pelaksanaan kawalan pergerakan kerana Covid-19.

Jumlah itu menurun berbanding pada tahun 2019 yang mencatatkan sebanyak 3,924,326 juta pelancong. – 17 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen