Isu cukai pelancongan, menteri Sarawak kata ketepikan dulu


Desmond Davidson

Abdul Karim ketika menyempurnakan majlis pembukaan hotel pintar pertama di Sarawak, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Februari, 2023.

SARAWAK kini mengutamakan untuk menyelesaikan pertikaian yang lebih mendesak dengan Putrajaya dan mengetepikan soal kutipan cukai pelancongan buat sementara waktu kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya menyelesaikan pertikaian wilayah yang sudah lama berlarutan berkait soal hak Sarawak bagi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Sarawak sudah sejak dulu meneliti PDA 1974 undang-undang yang digubal Parlimen sebagai melanggar hak negeri ke atas tanahnya serta semua sumber semula jadinya kerana undang-undang itu memberikan pemilikan minyak mentah dan gas asli serta hak juga kebebasan Petronas meneroka petroleum luar pesisir Sarawak.

“Kami tak mahu jadikan ia isu besar (buat masa ini). Kami (Cuma) biarkan dulu buat sementara waktu,” katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan hotel pintar pertama di Sarawak, Hotel Kuching Park, hari ini.

Sementara itu ketika diminta mengulas soal kesan kutipan cukai pelancongan yang disenaraikan Persekutuan, Abdul Karim berkata perkara itu akan dinilai semula pada masa depan.

Kutipan cukai pelancongan digantung sejak pandemik Covid-19 dan bermula semula pada 1 Januari lalu.

Perkara itu disenaraikan dalam Jadual 9 senarai perundangan, perincian tanggungjawab kerajaan pusat dan kerajaan negeri secara spesifik.

Beliau juga berkata kerajaan negeri melihat soal cukai pelancongan itu suatu hal yang kecil yang tidak menjejaskan Sarawak.

Katanya Sarawak tidak terlalu bergantung terhadap cukai pelancongan kerana memiliki sumber pendapatan yang lain.

Sumber hasil utama Sarawak adalah daripada hasil cukai, hasil bukan cukai, hasil bukan penerimaan dan geran pusat serta bayaran balik

Hasil cukai menyumbang RM6.7 bilion atau 56%  daripada jumlah hasil sementara kategori lain mencecah 44%. – 21 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen