Asean perlu lebih kuat capai tahap pelancongan berkualiti, kata menteri Indonesia


Asean perlu lebih kuat dalam menempuh fasa pemulihan pandemik Covid-19 supaya dapat mencapai tahap pelancongan berkualiti dan mampan. – Gambar fail EPA, 5 Februari, 2023.

ASEAN perlu menjadi lebih kuat dalam menempuh fasa pemulihan pandemik Covid-19 supaya dapat mencapai tahap pelancongan yang berkualiti dan mampan.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno berkata memandangkan blok serantau ini menyediakan persekitaran yang stabil, aman dan kesalinghubungan, adalah mustahak jika mesej bangkit menjadi lebih kuat dibuat kepada masyarakat dunia.

“Walaupun terdapat begitu banyak ketidaktentuan, ketidakstabilan dan kerumitan dari segi situasi pasca pandemik, kita sememangnya pusat pertumbuhan.

“Kita kaya dengan alam semula jadi dan budaya. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk pulih bersama-sama, terutamanya dalam aspek kualiti dan pelancongan yang mampan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ke-26 menteri pelancongan Asean dan mesyuarat berkaitan di Jogjakarta, Indonesia pada Ahad.

Mesyuarat itu diadakan di luar Forum Pelancongan Asean 2023 (ATF2023) yang berlangsung selama lima hari dan berakhir hari ini.

“Bermula daripada Forum Pelancongan Asean 2023, kita perlu (juga) menjadi lebih inklusif, menggalakkan pembabitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perwakilan wanita dalam sektor pelancongan dan penyertaan generasi muda. Sudah tentu, kita juga perlu mencipta peluang pekerjaan berkualiti,” katanya menjawab soalan mengenai mesej yang ingin disampaikan Indonesia kepada dunia melalui ATF2023, khususnya hampir tiga tahun selepas pandemik Covid-19.

Senada dengan Sandiaga, Timbalan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam Doan Van Viet berkata negara anggota harus terus mempromosikan ketersambungan serta memudahkan prosedur dan dasar dari segi visa.

“Mengenai fasa pasca pandemik, tidak syak lagi Asean harus mengikuti dan meneruskan strategi semasa ke arah membangunkan aktiviti pelancongan di rantau ini. Kita juga harus mempertimbangkan untuk membuat pelarasan berhubung situasi terkini.

“Keterhubungan penting untuk mempromosikan pasaran kita kepada dunia serta visa. Dengan mempromosikan nilai budaya sebenar bagi setiap negara anggota, ia akan membantu kita mencapai hasil yang baik dalam sektor pelancongan bersama-sama,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Tiong King Sing, Menteri Kebudayaan, Penerangan dan Pelancongan Laos, Suanesavanh Vignaket dan Setiausaha Jabatan Pelancongan Filipina Christina Garcia Fasco. – Bernama, 5 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen