Brunei setuju buka pejabat perdagangan dan pelancongan Sarawak, kata Abang Johari


Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata dengan penubuhan pejabat itu, beliau berharap kerjasama ekonomi dua hala antara Brunei dan Sarawak akan terus dipertingkatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari 2023.

KERAJAAN Brunei bersetuju untuk Sarawak membuka sebuah Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Bandar Seri Begawan, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya berikutan lawatan dua hari beliau ke Brunei bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang berakhir, hari ini.

Abang Johari berkata dengan penubuhan pejabat itu, beliau berharap kerjasama ekonomi dua hala antara Brunei dan Sarawak akan terus dipertingkatkan.

“Kita (Sarawak) juga sudah mengenal pasti bangunan pejabat dan tahun ini kita akan mempunyai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan sendiri di Bandar Seri Begawan.

“Kami akan mengenal pasti di mana kami boleh bekerjasama (dengan Brunei), satu bidang kerjasama yang kami akan lihat ialah cadangan loji kuasa hidro antara Brunei dan Lawas (di Sarawak),” katanya dalam ucapannya semasa majlis jamuan malam Tahun Baharu Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), di Miri, malam ini.

Pada 21 November tahun lalu,, semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2023, Abang Johari berkata kerajaan negeri merancang untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di  Singapura (STATOS) dan menubuhkan pejabat sama di Brunei dan Pontianak di Indonesia, tahun ini .

Abang Johari berkata, penubuhan pejabat-pejabat ini adalah antara beberapa inisiatif di bawah teras strategik belanjawan untuk mengubah negeri menjadi ekonomi yang berdaya saing. – Bernama, 25 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen