Motac sasar kedatangan 5 juta pelancong China tahun ini, kata menteri


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata sasaran itu ditetapkan, susulan keputusan China membuka semula sempadan pada 8 Januari lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2023.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyasarkan kedatangan lima juta pelancong China ke Malaysia tahun ini berbanding 3.1 juta pada 2019, kata Menterinya Tiong King Sing.

Tiong berkata sasaran itu ditetapkan, susulan keputusan negara itu membuka semula sempadan pada 8 Januari lepas, selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

“Kita gembira lihat kedatangan pelancong ke negara ini untuk pacu sektor pelancongan dan ekonomi negara.

“Saya ucapkan selamat datang ke Malaysia dan berharap pelancong dari negara lain juga melawat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan cenderamata sempena Tahun Baharu Cina kepada pelancong dari Hong Kong dan China, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Beliau berkata sasaran tersebut dijangka tercapai, apabila China menyambung semula perkhidmatan lawatan berkumpulan ke 20 negara termasuk Malaysia, bermula 6 Februari ini. 

Negara yang tersenarai ialah Thailand, Indonesia, Kemboja, Maldives, Sri Lanka, Filipina, Rusia, Singapura, Laos, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Kenya, Afrika Selatan, Rusia, Switzerland, Hungary, New Zealand, Fiji, Cuba dan Argentina.

Tiong turut memberi jaminan setiap pelancong China yang memasuki negara ini, menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan meminta rakyat Malaysia untuk terus mengutamakan kesihatan diri, di samping menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Walaupun Covid-19 masih ada tetapi kita kena bergerak ke hadapan, kita sama-sama jaga kesihatan kendiri dan kita kena bergerak ke hadapan,” katanya.

Baru-baru ini Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), dilaporkan menaruh kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan ketibaan pelancong China, sama seperti yang mereka lakukan dengan pengembara lain dari seluruh dunia.

Tiong turut meminta pelbagai pihak untuk bekerjasama dengan Motac menjayakan promosi pelancongan bagi merancakkan semula sektor terbabit. – Bernama, 22 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen