Bebaskan pelancongan Terengganu daripada politik, kata pengusaha


Diyana Ibrahim

Pengusaha bot, nelayan, penduduk bergotong royong melakukan kerja membuka laluan muara Sungai Merang ke laut. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Jun, 2023.

PULAU Bayas di Tasik Kenyir, Terengganu yang pernah dicadangkan sebagai pusat bebas cukai sepatutnya menjadi tarikan pelancongan baharu di negeri itu sekali gus mengangkat ekonomi penduduk di kawasan setempat, kata pengusaha pelancongan.

Projek mega itu dibangunkan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2010 dengan kos sebanyak RM118 juta membabitkan pembinaan terminal utama jeti penumpang, jeti servis, kompleks beli belah dan laluan pendaratan bot.

Projek itu sepatutnya siap pada 2018 tapi bertukar status menjadi projek sakit kerana keadaan politik negeri yang tidak stabil hingga membawa kepada pertukaran menteri besar dan kemudian pentadbiran kerajaan daripada BN kepada PAS.

Pengusaha pelancongan yang hanya mahu dikenali sebagai Azimi, 42, berkata projek bebas cukai di Tasik Kenyir adalah antara contoh daripada sekian banyak pembangunan pelancongan di Terengganu yang gagal kerana tekanan politik.

“Kalau tidak kerana tekanan politik, pelancongan di Terengganu sudah tentu akan lebih membangun.

“Apa yang kita kesalkan projek itu memakan kos yang sangat besar dan akhirnya membazir begitu sahaja.

“Bayangkan 70 peratus pembangunan sudah berjalan dan kemudiannya terbiar begitu sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Politik Terengganu berkocak selepas Ahmad Said meletakkan jawatan menteri besar pada 2014 dan diganti dengan Ahmad Razif Abdul Rahman.

Kemelut politik dalaman Umno dikatakan memberi kesan ke atas pembangunan kompleks bebas cukai di Tasik Kenyir hingga membawa kepada pertikaian tentang kesesuaian kawasan yang dicadangkan untuk pembangunan.

Pada 2016, Ahmad Razif memberi jaminan pentadbirannya akan meneruskan pembinaan kompleks itu biarpun mengakui ia akan lewat disiapkan daripada jadual.

Dua tahun kemudian, BN gagal mempertahankan mandat di Terengganu apabila kalah kepada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pentadbiran PAS pula dilapor tidak berminat untuk meneruskan projek itu yang sudah 77% siap kerana kosnya yang tinggi.

Kemelut politik dalaman Umno dikatakan memberi kesan ke atas pembangunan kompleks bebas cukai di Tasik Kenyir. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2023.

Ia dilapor melibatkan kos kira-kira RM200 juta, lebih tinggi berbanding kos asal RM118 juta.

Sehingga sekarang, projek itu tertangguh dan pulau itu terbiar dengan bangunan kelihatan usang dan saki-baki bahan binaan pula ditinggalkan begitu sahaja.

Namun pada 2022, kerajaan negeri memberi jaminan akan tetap meneruskan projek sakit tersebut selain menyiapkan pembangunan jambatan ikonik dan pembinaan hotel di Pulau Poh yang berdekatan.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Sulong Mustafa berkata beliau tidak nampak adanya kerja pembangunan berjalan di Pulau Bayas, tidak seperti di Pulau Poh yang mempunyai jambatan ikonik dan hotel.

“Apabila pengunjung melalui Pulau Bayas mereka tanya kenapa ada bangunan yang terbiar, secara tidak langsung menjejaskan imej pelancongan negeri kerana kita perlu beritahu ia sebenarnya projek yang terbengkalai,” katanya.

Kumpul duit, gali pasir

Senario hampir sama juga berlaku bagi kira-kira 600 nelayan dan pengusaha pelancongan di Jeti Merang, Setiu yang berdepan masalah muara sungai cetek.

Projek mendalamkan muara sungai yang dijanjikan kepada mereka tidak pernah berlaku biarpun masalah itu sudah berlarutan lebih 30 tahun dan kerajaan sudah beberapa kali bertukar.

Pengusaha bot yang hanya mahu dikenali sebagai Baha, 44, berkata usaha pihak berkuasa mengorek pasir sebelum ini hanya bersifat sementara.

“Ia tidak selesaikan masalah yang sudah lama kita hadapi dan tidak konsisten.

“Setiap kali kerajaan bertukar mereka akan rasa itu beban buat mereka kerana perlu menanggung kos yang tinggi jadi berlakulah keadaan yang kita nampak sekarang.

“Apabila dah tular, orang bising barulah pihak berkuasa nak datang korek pasir… kalau tidak mereka akan biarkan,” katanya.

Jeti Merang adalah pintu untuk pelancong ke Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Tengah.

Namun masalah muara sungai yang cetek menyebabkan bot tersangkut atau terbalik, kata Baha.

“Masalah ini sangat memberi kesan bagi pengusaha bot terutama yang terlibat dengan pelancongan. Kita nak tarik pelancong tapi kalau dengan situasi yang tidak selesai ini apa yang kita boleh buat?

“Pernah berlaku kes penumpang sendiri kena turun tolak bot akibat tersangkut di kawasan beting pasir. Memang kita malulah terhadap pelancong,” katanya.

Keadaan sungai yang cetek juga menjejaskan pendapatan nelayan yang terpaksa keluar mencari ikan di kawasan lebih jauh.

Keadaan Sungai Merang yang cetek menyebabkan bot tersangkut atau terbalik. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Jun, 2023.

Baha menjelaskan masalah muara sungai cetek ini bertambah buruk dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Keadaan lebih teruk pada musim tengkujuh. Kita pun tak tahan setiap hari berdepan dengan risiko bot terbalik, sangkut dan rosak,” katanya.

Pada Mac lalu, pengusaha bot dan penduduk setempat melancarkan kutipan derma untuk mendalamkan laluan muara sungai ke laut.

Mereka mengambil inisiatif sendiri selepas kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu itu biarpun pentadbiran bertukar dari pilihan raya ke pilihan raya, kata Baha.

“Dengan usaha komuniti, kita berjaya kumpul dana sebanyak RM19,800 dalam tempoh 24 jam membolehkan kita menyewa jengkaut mengorek pasir di kawasan muara yang tertutup itu.

“Selepas tular usaha yang kita buat ini, barulah pihak berkuasa tempatan datang nak bantu juga tapi sebelum ini mereka acuh tak acuh sahaja biarpun dah beratus aduan yang komuniti buat,” katanya.

Menurut Baha, biarpun kerajaan persekutuan berjanji untuk melaksanakan projek mendalamkan muara sungai namun mereka tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Sebelum ini adalah hantar memorandum kepada perdana menteri dan kerajaan ada buat pengumuman untuk melaksanakan projek tersebut.

“Tapi kita tak letak harapan tinggi takut sama juga jadi macam kerajaan sebelum ini,” katanya. – 4 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen