Melaka terima peruntukan RM30 juta


Melaka menerima peruntukan RM30 juta daripada MOTAC bagi memacu sektor pelancongan negeri itu pada tahun ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2023.

KERAJAAN Melaka menerima peruntukan berjumlah RM30 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memacu sektor pelancongan negeri itu pada tahun ini, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata daripada jumlah itu peruntukan berjumlah RM25 juta diterima bagi melaksanakan usaha memelihara dan memulihara tapak Warisan Dunia Yang Diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Peruntukan berkenaan turut diterima kerajaan Pulau Pinang dan dana itu disalurkan setiap tahun kepada kedua-dua negeri berkenaan bagi memastikan semua bangunan dan monumen warisan dalam kawasan Tapak Warisan Unesco sentiasa berada dalam keadaan yang baik agar status Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco dapat terus dikekalkan pada masa hadapan.

“Peruntukan RM25 juta ini disalurkan kepada Melaka pada majlis khas semalam di Pulau Pinang bagi memagar dan memelihara bangunan yang terdapat dalam kawasan tapak Unesco terutama di kawasan sekitar Banda Hilir dengan antara bangunan terlibat ialah mahkamah lama, Stadthuys, Bukit St Paul atau Bukit Melaka.

“Selain itu menerusi perutukan berkenaan, ia juga akan digunakan bagi menjalankan pelbagai kajian bagi memajukan sektor pelancongan negeri dan produk pelancongan baharu seperti terowong lama yang dipercayai wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka di kawasan Banda Hilir yang terhenti sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Melaka lewat malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @ Jonker Melaka yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Mohd Zamri Mat Zain dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Melaka turut menerima peruntukan tambahan berjumlah RM5 juta bagi melaksanakan program dan aktiviti mempromosikan Tahun Melaka Melaka 2024 (TMM 2024) pada tahun ini.

Katanya antara program yang dirangka pada tahun ini bagi mempromosikan TMM 2024 ialah Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar di Sungai Melaka dan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 pada September depan.

“Bagi menjalankan promosi TMM 2024, peruntukan RM5 juta berkenaan tidak mencukupi kerana kita memerlukan peruntukan tidak kurang RM20 juta bagi melaksanakan TMM 2024 tetapi Alhamdulillah, kita menerima kerjasama dan bantuan yang sangat baik daripada MOTAC bagi melancarkan usaha yang telah dirangka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata setakat ini, persiapan Melaka dalam pelbagai aspek bagi menghadapi TMM 2024 telah mencapai tahap 85% dan beliau yakin persiapan penuh dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

Terdahulu katanya Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @ Jonker Melaka yang diadakan selama tiga hari bermula semalam (Jumaat) di Jalan Harmoni yang dulu dikenali Jalan Tukang Emas itu melibatkan penyertaan tiga rumah ibadat berusia ratusan tahun yang terletak di jalan berkenaan iaitu Masjid Kampung Kling, Tokong Cheng Hoon Teng dan Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi.

Beliau berkata festival bertema ‘Warisan Akar Umbi’ itu turut menganjurkan Kenduri Muhibbah: Makan Ala ‘Tok Panjang’ di pekarangan Pentas Opera di hadapan Tokong Cheng Hoon Teng selain Program Silang Budaya melibatkan kumpulan kesenian dari Melaka seperti ialah Trio Peranakan Melaka, Kumpulan Kesenian JKKN Melaka dan Negeri Sembilan (Canang Sendeng Cak Lempong), Kumpulan Tarian Singa dan Tarian Naga Jonker Walk, Persatuan Barongan dan Kuda Kepang Kampung Parit Bugis, Muar, Johor serta Kiawaian Dance Club, Tambunan, Sabah serta persembahan nyanyian melibatkan artis tempatan antaranya Amir Masdi, Vince Chong dan Dr Soo Winci. – Bernama, 29 Julai, 2023.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen