Pengusaha pelancongan lega projek lapangan terbang Tioman batal


Kalidevi Mogan Kumarappa

RATA-RATA pengusaha pelancongan di Pulau Tioman menerima baik pembatalan pembinaan lapangan terbang baharu yang dikhuatiri memusnahkan keindahan alam di pulau peranginan itu.

Mereka gembira kerana pembatalan itu akan menyelamatkan terumbu karang di taman laut yang menjadi sumber kekayaan utama dan tarikan pelancong ke pulau itu.

Seorang pemilik syarikat pelancongan, Azlan Hashim, 46, berkata ramai pelancong menyuarakan rasa tidak puas hati apabila rancangan membina lapangan terbang itu diusahakan semula.

“Ramai terutama dari luar negara yang menyatakan tidak akan ke Pulau Tioman semula sekiranya lapangan terbang itu dibina.

“Jadi, sekarang masing-masing meluahkan rasa gembira kerana kawasan tambakan laut yang akan menjejaskan habitat terumbu karang tidak akan berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, sektor pelancongan di Pulau Tioman tidak perlu penambaikan dari segi pengangkutan sebaliknya landskap asli pulau itu perlu dipelihara sebagai langkah jangka masa panjang.

Pandangan sama dinyatakan seorang pemandu pelancong yang mahu dikenali sebagai Tok Sam, 67, yang mendedahkan usaha membina lapangan terbang baharu itu sudah lama dibantah.

“Cadangan pembinaan lapangan terbang memang dikecam pelancong dan pemain industri seperti kami sejak dari awal lagi.

“Kami gembira dengan pembatalan keputusan itu kerana pembinaan lapangan terbang itu sebenarnya akan memberi impak buruk kepada sektor pelancongan di sana,” katanya.

Sektor pelancongan di Pulau Tioman tidak perlu penambaikan dari segi pengangkutan, kata pengusaha.– Gambar Facebook My Tioman, 27 Ogos, 2023.

Katanya, pemandu pelancong, penduduk tempatan dan aktivis alam sekitar lebih bimbang dengan kemerosotan kualiti alam sekitar yang turut akan menjejaskan pendapatan mereka.

“Ini merupakan kemenangan bagi kesedaran alam sekitar, menekankan kepentingan memelihara ekosistem Pulau Tioman,” katanya yang mahu perkhidmatan feri menjadi akses utama.

Seorang lagi pemilik syarikat pelancongan di Pahang, Hidayat Ali juga mahu Pulau Tioman kekal sebagai tapak marin yang secara langsung menyumbang kepada sektor pelancongan.

“Pembinaan lapangan terbang itu sekiranya diteruskan akan melibatkan penebusan 76% tanah daripada kawasan perlindungan marin, mengakibatkan kemusnahan kebanyakan daripada terumbu karang yang sangat berharga di Pulau Tioman.

“Terumbu karang ini merupakan habitat penting bagi banyak spesies marin dan menyumbang secara signifikan kepada biodiversiti pulau itu. Ia juga faktor penarik utama kepada industri pelancongan di Pulau Tioman.

“Jadi, saya cukup bersyukur dengan keputusan kerajaan itu,” kata Hidayat, 53.

Badan pemantau ekologi Reef Check Malaysia pula berpendapat, sumber untuk membina lapangan terbang itu sepatutnya dipindahkan bagi memperbaiki prasarana lain di pulau itu.

Pengurus programnya Alvin Chelliah berkata lapangan terbang baharu tidak diperlukan dan tidak akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat atau alam sekitar.

“Tumpuan perlu diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur, sistem perparitan, rawatan sisa dan bekalan elektrik di Pulau Tioman.

“Isu kekurangan air yang sangat kerap dan pengurusan sisa yang tidak baik dan tidak efisien adalah masalah utama di pulau ini.

Pemandu pelancong, penduduk tempatan dan aktivis alam sekitar bimbang dengan kemerosotan kualiti alam sekitar yang turut akan menjejaskan pendapatan mereka. – Gambar Facebook My Tioman, 27 Ogos, 2023.

“Saya percaya pembinaan lapangan terbang baharu itu akan mengalihkan perhatian daripada menangani isu-isu mendesak itu dan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar setempat,” katanya.

Cheah turut menyeru lebih banyak penyelidikan dan penilaian alam sekitar dilakukan dengan menekankan kepentingan mempertimbangkan keperluan dan perspektif penduduk setempat.

Cadangan membina lapangan terbang baharu di pulau itu diutarakan pada 2003 dengan kos RM120 juta yang ditentang banyak pihak sebelum dibatalkan pada 2009.

Seterusnya, muncul cadangan baharu untuk membina lapangan terbang antarabangsa pada 2018 yang diluluskan kerajaan negeri dan Majlis Perancang Fizikal Negara pada 2020.

Cadangan pembangunan selama tujuh tahun dari 2024 hingga 2030 itu meliputi kawasan seluas 142.7 hektar dalam kawasan yang diwartakan sebagai taman laut.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada awal bulan ini mengumumkan Kabinet bersetuju membatalkan rancangan pembangunan itu.

Katanya, projek itu didapati berpotensi memberi impak negatif yang amat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin.

Katanya, penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang iaitu habitat penting pelbagai spesies hidupan laut di taman laut itu.

“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, ia akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Reaksi itu diperoleh daripada 1,412 ulasan orang awam ke atas Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dalam pameran yang dijalankan sehingga 4 Ogos lalu. – 27 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen