BAGHDAD pada Rabu berkata merancang untuk menempatkan semula pengawal persekutuan di sepanjang sempadannya dengan Iran dan Turkey, selepas pengeboman berulang-kali dari kedua-dua negara jiran terhadap kumpulan pembangkang di wilayah autonomi Kurdistan Iraq.
Pengumuman itu dilihat sebagai respons khususnya kepada Iran, yang secara terbuka menggesa langkah sedemikian.
Pihak berkuasa memutuskan untuk mewujudkan rancangan menempatkan semula pengawal sempadan Iraq, di sepanjang sempadan dengan Iran dan Turkey, kata satu kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat keselamatan kerajaan yang dipantau oleh Perdana Menteri Mohammed Shia al-Sudani.
Inisiatif itu sebagai penyelarasan dengan kerajaan wilayah Kurdistan dan kementerian peshmerga”, tambah kenyataan itu, merujuk kepada pasukan wilayah Kurdish yang ketuanya turut hadir pada mesyuarat itu.
Sempadan Kurdistan Iraq kini dikawal oleh peshmerga, yang bagaimanapun beroperasi di kawasan itu di bawah arahan kementerian pertahanan persekutuan di Baghdad.
Iran menyalahkan kuasa luar dan kumpulan Kurdish dalam buangan kerana mencetuskan gelombang protes yang dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini pada 16 September, seorang wanita Kurdish Iran berusia 22 tahun yang meninggal dunia selepas ditangkap oleh polis moral Tehran.
Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian memberi amaran awal pada Rabu yang Tehran akan terus bertindak menentang “ancaman” dari luar negara.
Operasi ketenteraan Iran di dalam Kurdistan Iraq akan diteruskan sehingga pasukan kebangsaan Baghdad ditempatkan di sempadan dan “kami tidak perlu lagi bertindak untuk mempertahankan integriti wilayah kami”, katanya.
Awal minggu ini, jurucakap kementerian luar Iran Nasser Kanani menyatakan harapan kerajaan Iraq akan mengerahkan “pengawal sempadan di sempadan bersama, supaya Iran tidak perlu mengambil langkah pencegahan lain untuk menangkis ancaman.”
Pada Selasa, delegasi peshmerga bertemu wakil kementerian dalam negeri dan pertahanan di Baghdad.
Mereka “memutuskan strategi yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan sempadan dan mengenai prosedur pelaksanaan yang akan diikuti dalam masa terdekat”, kata kenyataan daripada pihak berkuasa Kurdish.
Pada Rabu, Lawk Ghafuri, ketua perhubungan media asing di Kurdistan, juga memberitahu AFP kerajaan wilayah Kurdistan akan menghantar pasukan peshmerga sebagai penguatkuasaan di sempadan.
Kurdistan Iraq sejak 1980-an menjadi tempat beberapa kumpulan pembangkang Iran-Kurdish yang pada masa lalu melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap Tehran.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini aktiviti mereka berkurangan, tetapi gelombang baru protes di Iran mencetuskan lagi ketegangan.
Pada Ahad, Ankara melancarkan kempen serangan udara yang menyasarkan tentera Kurdish di seluruh bahagian Iraq dan Syria sebagai sebahagian daripada Operasi Claw-Sword, berikutan pengeboman maut di Istanbul pada 13 November yang didakwa dilakukan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan. – AFP, 24 November, 2022.
Komen