TURKIYE mengumumkan negara itu melancarkan serangan udara terhadap pangkalan haram militan Kurdish di seluruh utara Syria dan Iraq, hari ini.
Pangkalan itu didakwa digunakan untuk melancarkan serangan “pengganas” ke atas tanahnya.
Serangan dengan nama kod Operasi Claw-Sword itu hadir selepas letupan maut di tengah Istanbul Ahad lalu yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 81 penduduk lain, dengan Turki menyalahkan kumpulan militan Kurdish.
“Kami memulakan Operasi Claw-Sword mulai sekarang,” kata Menteri Pertahanan Hulusi Akar di pusat operasi tentera udara sebelum pesawat itu meninggalkan pangkalan untuk mencapai sasaran di utara Iraq dan Syria.
Akar juga dilihat dalam taklimat imej video Presiden Recep Tayyip Erdogan yang memberi arahan untuk operasi terbaharu itu. Menurut seorang pemantau serangan membunuh 12 orang.
Serangan itu menyasarkan pangkalan Parti Pekerja Kurdish (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG), yang dianggap Ankara sebagai lanjutan daripada PKK, menurut kementerian pertahanan.
“Selaras dengan hak mempertahankan diri kita yang timbul daripada Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, operasi udara Claw-Sword digerakkan di wilayah di utara Iraq dan Syria yang digunakan sebagai pangkalan untuk serangan ke atas negara kita oleh pengganas,” tambahnya.
Turki menyalahkan PKK atas pengeboman Istanbul, insiden terburuk dalam tempoh lima tahun dan yang membangkitkan kenangan pahit tentang gelombang pengeboman di seluruh negara dari 2015 hingga 2017 yang kebanyakannya dikaitkan dengan militan Kurdish dan pejuang kumpulan Negara Islam.
PKK, yang melancarkan pemberontakan berdarah di Turki selama beberapa dekad dan dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turki dan sekutu Baratnya.
YPG menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu.
Namun, tiada individu atau kumpulan mengaku bertanggungjawab. – AFP, 20 November, 2022.
Komen