Rusia gesa Turki tidak serang utara Syria


Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata rancangan Turki untuk melancarkan serangan di utara Syria akan memburukkan lagi keadaan. – Gambar EPA, 3 Jun, 2022.

RUSIA berharap Turki tidak melancarkan serangan di utara Syria, kata kementerian luarnya semalam.

Harapan itu disuarakan selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Rabu memaklumkan Turki bersedia untuk menyerang utara Syria, yang berhampiran sempadan Turki, bagi menghalang dan menghapuskan ancaman keganasan Kurdish.

“Kami berharap Ankara tidak akan mengambil tindakan yang akan memburukkan lagi keadaan di Syria,” kata jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova dalam kenyataan.

Erdogan pada Rabu berkata Turki bersedia untuk menyerang kawasan Tal Rifaat dan Manbij di utara Syria, yang berhampiran sempadan Turki, bagi menghalang ancaman keganasan dari wilayah itu.

“Kami mengambil satu langkah lagi dalam mewujudkan zon keselamatan sepanjang 30 kilometer di sempadan selatan kami. Kami akan membersihkan Tal Rifaat dan Manbij daripada pengganas dan akan melakukan perkara yang sama kepada beberapa kawasan lain,” katanya. – AFP, 3 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen