Tentera Turki terbunuh di utara Iraq


Turki melancarkan operasi ketenteraan terhadap militan Kurdish di utara Iraq.– Gambar EPA, 30 Mei, 2022.

DUA lagi askar Turki terbunuh semasa operasi ketenteraan terhadap militan Kurdish di utara Iraq, kata kementerian pertahanan dan media Turki pada Ahad.

Insiden terbaharu itu menjadikan jumlah tentera Turki yang terbunuh di wilayah itu kepada lapan sejak Selasa.

Seorang askar terbunuh pada Sabtu apabila alat letupan buatan (IED) meletup ketika dia dan askar lain sedang melalui lokasi terlibat. Seorang lagi askar dilaporkan cedera.

Seorang lagi askar cedera semasa pertempuran pada Jumaat dilaporkan meninggal dunia di hospital, lapor agensi berita rasmi Anadolu.

Turki telah melancarkan beberapa operasi di kawasan itu terhadap pejuang dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang disifatkan Ankara dan sekutu Baratnya sebagai pertubuhan pengganas.

PKK mempunyai kem latihan dan pangkalan di Kurdistan Iraq yang berautonomi dan telah melancarkan pemberontakan terhadap negara Turki sejak 1984, konflik yang telah membunuh 40,000 orang, kebanyakannya orang awam.

Ankara telah melancarkan beberapa siri operasi menentang pejuang PKK di Iraq dan Syria, yang terbaru di utara Iraq bermula pada April.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin berkata Turki akan melancarkan operasi ketenteraan baharu ke utara Syria tidak lama lagi yang menurutnya direka untuk mewujudkan “zon keselamatan” sepanjang 30 kilometer (19 batu) di sepanjang sempadan mereka. – AFP, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen