SEORANG lagi askar Turki terbunuh dalam operasi ketenteraan ke atas militan Kurdish di utara Iraq, kata kementerian pertahanan Turki pada Ahad.
Askar itu terbunuh pada Sabtu apabila bahan letupan meletup ketika beliau dan seorang lagi askar melalui kawasan berkenaan.
Kematiannya itu menjadikan seramai tujuh tentera Turki telah terbunuh di wilayah itu sejak Selasa.
Turki telah melancarkan beberapa operasi di kawasan itu terhadap pejuang dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang Ankara dan sekutu Baratnya dakwa sebagai pertubuhan pengganas.
PKK mempunyai kem latihan dan pangkalan di Kurdistan Iraq yang berautonomi dan telah melancarkan pemberontakan terhadap negara Turki sejak 1984, konflik yang telah meragut 40,000 nyawa, kebanyakannya orang awam.
Ankara telah melancarkan beberapa siri operasi menentang pejuang PKK di Iraq dan Syria, terbaharu di utara Iraq bermula April.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin berkataTurki akan melancarkan operasi ketenteraan baharu ke utara Syria tidak lama lagi yang menurutnya bagi mewujudkan “zon keselamatan” sepanjang 30 kilometer di sepanjang sempadan mereka. – AFP, 29 Mei, 2022.
Komen