Gelandangan terlalu sukar cari kerja


Elill Easwaran

Ada yang sudah menjadi gelandangan di ibu kota sehingga lebih satu dekad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2022.

IA bagaikan senario kejam buat gelandangan di ibu kota - bukan saja mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, situasi mereka turut menghalang usaha mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mereka pantas ditolak apabila majikan mendapati mereka adalah golongan gelandangan.

Eddy, 46, berkata dia sudah mencuba di beberapa tempat untuk mendapatkan pekerjaan namun hingga kini masih belum berjaya kerana statusnya sebagai gelandangan.

“Saya sudah mencuba di restoran makanan segera, stesen minyak, restoran dan banyak tempat lagi.

“Mereka serta-merta menolak apabila mengetahui saya seorang gelandangan,” kata Eddy yang sudah menjadi gelandangan selama tujuh tahun.

Dia yang berasal dari Pulau Pinang menjadi gelandangan apabila datang ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan lebih baik.

“Di Pulau Pinang saya bekerja di kilang, jadi saya mahu mencuba nasib mencari pekerjaan lebih baik di sini tapi ia tidak seperti yang dirancang.

“Saya menyewa di sini pada beberapa bulan pertama dan cuba memohon pekerjaan tapi tidak berjaya. Saingan di Kuala Lumpur terlalu tinggi,” katanya.

Dia berkata, adik-beradiknya juga tidak dapat membantu kerana mereka sudah berkahwin dan menjalani kehidupan sendiri.

Eddy berkata, satu-satunya cara dia menjana wang kini adalah dengan menjual pakaian yang disumbang oleh badan bukan kerajaan (NGO). Dia akan menjualnya di jalanan.

“Malangnya hari ini kami selalunya tidak mendapat pakaian lagi, hanya makanan.”

Badan bukan kerajaan (NGO) memberikan bantuan makanan dan pakaian kepada golongan gelandangan ibu kota. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Ogos, 2022.

Stigma menjadi gelandangan

Muhammad Rafiq, 59, berkata dia dan isterinya sudah menetap di jalanan Kuala Lumpur sejak 2015.

“Saya pernah bekerja di pasar pagi tapi bayarannya terlalu kecil, jadi saya hanya tidur di jalanan sejak itu.

“Apabila Covid-19 berlaku, saya hilang pekerjaan dan sejak itu tidak mendapat pekerjaan baharu,” kata Rafiq yang membesar di Ampang.

Dia turut menegaskan situasi menjadi semakin buruk apabila isterinya mengandung.

“Selepas melahirkan bayi kami, isteri saya terpaksa berkerusi roda susulan pembedahan.

“Jadi sekarang saya perlu menjaga kedua-duanya sambil mencari kerja sambilan,” katanya.

Dia melahirkan rasa syukur kerana seorang daripada saudaranya membenarkan isteri dan bayinya tinggal bersama mereka pada sebelah siang ketika dia mencari pekerjaan.

Rafiq berkata, sebaik seseorang itu menjadi gelandangan, terlalu sukar buatnya untuk mencari pekerjaan.

“Satu daripada alasannya majikan bimbang kami akan bermalam di tempat kerja.

“Walaupun kami tidak melakukannya, majikan tidak mempercayai kami sekalipun kami cuba meyakinkan mereka,” katanya.

Shahrul Nizam, 46, pula berkata dia menjadi gelandangan ketika pandemik.

“Saya mendapat gaji minimum sebelum ini tetapi apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula, saya kehilangan kerja.

“Selepas tahun pertama PKP, saya tidak mampu lagi untuk membayar bil jadi saya berpindah ke jalanan,” katanya yang berasal dari Kedah.

“Saya tidak menyangka kehidupan di bandar raya ini terlalu mahal dan saingan untuk mencari pekerjaan terlalu hebat,” kata Shahrul yang berpindah ke Kuala Lumpur 12 tahun lalu.

Shahrul berkata, dia berazam untuk bekerja dan berharap dapat diterima majikan tidak lama lagi.

“Bagaimanapun saya berterima kasih kepada NGO yang menyediakan kami makanan dan pakaian sekali-sekala.

“Jika tidak kerana bantuan mereka, kehidupan pasti lebih sukar,” katanya.

Nasrul Hisham dari Dapur Jalanan berkata gelandangan semakin berkurangan sejak PKP berakhir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Ogos, 2022.

Barisan lebih pendek di kaunter makanan

Sukarelawan yang menghidangkan makanan percuma buat golongan yang memerlukan di bandar raya berkata barisan untuk mengambil makanan kini menjadi lebih pendek berbanding ketika PKP.

Nasrul Hisham, 24, dari Dapur Jalanan, satu perkhidmatan sukarelawan berkata gelandangan kini semakin berkurangan sejak PKP berakhir.

“Barisan di gerai kami pada Ahad semasa PKP sekurang-kurangnya lima kali lebih panjang daripada apa yang kami ada sekarang.

“Tetapi semasa PKP, mereka yang datang untuk mengambil makanan bukan sahaja gelandangan, ada juga golongan miskin bandar justeru barisan menjadi lebih panjang,” katanya.

Menurutnya, terdapat sebilangan besar gelandangan yang datang kepada mereka selama bertahun-tahun untuk mendapatkan makanan.

Dapur Jalanan memberi makan kira-kira 180 hingga 200 orang setiap petang Ahad di Jalan Panggung.

Walaupun kajian 2016 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunjukkan terdapat kira-kira 1,500 hingga 2,000 gelandangan di ibu kota, jumlah tidak rasmi itu meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya selepas pandemik Covid-19.

Menurut tinjauan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2010, tiga faktor utama adalah pengangguran, miskin dan berpendapatan rendah, serta hari tua tanpa ahli keluarga di sisi.

Awal bulan ini, Datuk Bandar Mahadi Che Ngah berkata DBKL berjaya mengurangkan bilangan ‘rakan jalanan’ di sekitar bandar raya menerusi operasi menyelamat gelandangan bersama agensi dan jabatan berkaitan.

“Setakat ini, kira-kira 1,845 gelandangan berjaya diselamatkan di pusat perlindungan yang disediakan dan dilatih dalam pelbagai kemahiran.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan kumpulan itu dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan dihantar ke Pusat Transformasi Gelandangan (Anjung Kelana) Anjung Kelana,” katanya. – 16 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen