Projek tiang lampu tidak guna dana awam, kata syarikat


DANA awam tidak digunakan untuk projek lampu jalan bernilai RM30.75 juta di Kuala Lumpur yang dianugerahkan kepada Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), menurut laporan Star Online.

Portal itu turut mendedahkan yang SCIB tidak ada kaitan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Laporan itu juga menyebut ketua pegawai operasi Ennova Sdn Bhd Megat Rozaimi Jaafar sebagai berkata laporan berita seolah memberi gambaran DBKL yang membiayai projek tersebut.

“Kami rasa perlu untuk jelaskan memandangkan projek ini dibiayai oleh syarikat kami dan ia melibatkan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan 200 unit tiang lampu atau monopole di Kuala Lumpur,” katanya kepada portal itu.

Megat berkata satu-satunya perkara yang melibatkan DBKL ialah Ennova menyewa tapak di mana tiang itu akan dibina daripada pihak berkuasa tempatan.

Pada Sabtu Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa DBKL menjelaskan mengapa ia membayar RM30.75 juta untuk 200 tiang lampu pintar di Lembah Klang.

Jumlah itu bersamaan RM153,750 bagi satu unit tiang lampu, katanya.

Kontrak itu adalah untuk kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan operasi bagi 200 unit tiang lampu.

Lim turut mempersoalkan mengapa kerajaan memberikan kontrak itu melalui Ennova.

Dilaporkan bahawa Ennova telah menganugerahkan kontrak itu kepada SCIB.

DBKL telah menafikan dakwaan itu, berkata ia tidak membenarkan pihak ketiga untuk melantik SCIB mahupun mana-mana anak syarikatnya untuk menjalankan mana-mana projeknya.

“Segala kos penggantian tiang lampu ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat panel tersebut. Tiang lampu dwifungsi tersebut merupakan tiang lampu jalan yang diintegrasikan dengan pemancar telekomunikasi.

“Apa-Apa nilai kontrak atau kuantiti yang dinyatakan SCIB adalah di luar pengetahuan DBKL,” menurut DBKL.

Megat berkata mereka akan membayar DBKL untuk tapak itu dan sebagai balasan menyewakan kepada syarikat telekomunikasi.

“Kami bukan satu-satunya syarikat yang melakukan ini. DBKL telah melantik 20 syarikat lain kerana mereka memerlukan infrastruktur untuk melancarkan rangkaian telekomunikasi 5G,” katanya dipetik sebagai berkata. – 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen