DBKL nafi lantik SCIB ganti tiang lampu


Kerja penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang dijangka bermula pada bulan ini dan berakhir pada Mei 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menafikan laporan media yang mendakwa pihaknya melantik Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) untuk melaksanakan apa-apa kerja bagi pihak DBKL. 

“DBKL tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak bagi melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya untuk melaksanakan apa-apa kerja bagi pihak DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan SCIB melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd, menerima surat lantikan bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM30.75 juta daripada Ennova Sdn Bhd membabitkan penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang untuk DBKL.

Perkhidmatan kejuruteraan projek untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL itu dijangka bermula pada bulan ini dan berakhir pada Mei 2023.

Perkara itu mencetuskan komen beberapa pihak yang mempertikaikan nilai kontrak yang disifatkan tidak sepadan dengan kerja pembinaan yang dinyatakan dan meminta penjelasan DBKL berhubung perkara itu.

Menurut kenyataan itu, setakat ini DBKL telah melantik secara berperingkat 29 syarikat panel yang mempunyai lesen network facilities provider (NFP) sejak tahun 2013 bagi melaksanakan penggantian tiang lampu sedia ada kepada tiang lampu berintegrasi sistem pemancar telekomunikasi (dwifungsi) di sekitar Kuala Lumpur.

“Segala kos penggantian tiang lampu ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat panel tersebut. Tiang lampu dwifungsi tersebut merupakan tiang lampu jalan yang diintegrasikan dengan pemancar telekomunikasi.

“Apa-Apa nilai kontrak atau kuantiti yang dinyatakan SCIB adalah di luar pengetahuan DBKL,” menurut kenyataan itu.

DBKL berkata rasional pembinaan tiang lampu dwifungsi itu adalah bagi meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Kuala Lumpur kepada rangkaian 5G selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyiapkan infrastruktur berkenaan di ibu kota secepat mungkin. 

“Tujuan utama adalah untuk meningkatkan kualiti dan liputan perkhidmatan komunikasi tanpa wayar seterusnya pengguna di ibu negara dapat menikmati kemudahan perkhidmatan 5G yang terbaik,” katanya. – Bernama, 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen